Saturday, December 24, 2016

Isu RM50j: Ketua Pemuda MCA biadap, kata Umno


Exco Pemuda Umno, Anuar Abd Manap menganggap Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon sebagai biadap ekoran keengganan parti Cina itu untuk menerima peruntukan kurang daripada RM50 juta.

"Tindakan Chong itu tidak dapat diterima kerana beliau sendiri merupakan timbalan menteri pendidikan.

"Sebagai timbalan menteri pendidikan, Chong sepatutnya lebih arif tentang punca mengapa perkara ini berlaku.

"Beliau juga boleh berbincang secara peribadi dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan mencapai kata sepakat tentang perkara ini," kata beliau yang juga ahli Parlimen Sekijang.

Hari ini, MCA menegaskan untuk tidak menerima peruntukan kurang daripada RM50 juta yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan.

Chong dilaporkan sebagai berkata, sekolah-sekolah rendah Cina berhak mendapat peruntukan RM50 juta seperti yang dijanjikan dalam bajet tahun lalu.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, menurut kementerian, bajet yang diberikan bukan dipotong tetapi tidak diberikan secara sekaligus.

"Perkara ini pun akan diselesaikan pada minggu akhir bulan ini. Jadi, kata putus belum dimuktamadkan dalam perkara ini.

"Ulasan yang diberikan oleh Chong seperti mahu meletakkan kesalahan hanya kepada menteri bertanggungjawab.

"Chong hanya memikirkan kepentingan politik beliau sahaja," jelas beliau.

Justeru, selaku ketua pemuda MCA dan timbalan menteri pendidikan, Chong harus lebih berhati-hati dalam memberikan ulasan untuk mengelakkan salah faham masyarakat Tiong Hwa terhadap kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-