Thursday, December 1, 2016

Ketiadaan kelibat Dr Mahathir, Muhyiddin tak beri kesan pada perwakilan

Zulaikha Zulkifli
Ketiadaan kelibat negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perhimpunan agung kali ini nampaknya tidak memberi kesan kepada para perwakilan dan pemerhati.

Malah, ada yang berpendapat kejadian yang berlaku terhadap dua individu itu merupakan kehendak Allah.
Bagi Ahmad Shibee Shahrudin, 67, yang telah menjadi anggota Umno sejak 1989 berkata, segala yang terjadi ketika ini adalah ketentuan Allah dan bukan kehendak Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka (Muhyiddin dan Mahathir) kena ingat, apa yang jadi sekarang Allah yang mempunyai kuasa. Seperti Muhyiddin, sebenarnya bukan presiden yang membuangnya (dari parti), Allah yang membuangnya.

Presiden tak ada kuasa. Allah yang menentukan manusia ini. Kita kenalah ikhlas berjuang untuk kepentingan peribadi. Allah yang aturkan, bukan presiden bukan siapa, Allah yang atur," katanya kepada Malaysiakini.
Perwakilan Puteri Umno bahagian Sembrong, Monaliza Misni, 36, pula berpendapat walaupun merasai 'perbezaan' pada persidangan tahun ini tanpa beberapa tokoh yang meninggalkan parti, namun katanya, apa yang lebih penting ialah untuk meneruskan perjuangan.

Katanya lagi, kewujudan Umno bukan untuk anggotanya setia pada satu pemimpin tetapi memperjuangkan matlamat parti.

"Secara jujur memang ada beza sikit tapi walau macam mana pun ia berbalik pada perjuangan parti sebab pemimpin datang dan pergi dan perjuangan parti mesti diteruskan.

"Umno tak dilahirkan untuk kita setia sorang pemimpin sahaja. Bila ada yang pergi, kita balik pada perjuangan parti semula," katanya.

Perhimpunan Agung Umno ke-70 tahun ini merupakan perhimpunan agung pertama tanpa Muhyiddin, bekas naib presiden parti Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin dan Mukhriz dipecat dari Umno manakala Shafie pula meninggalkan parti berkenaan.

Bagaimanapun, ia bukan kali pertama buat Mahathir yang juga bekas perdana menteri selama 22 tahun kerana negarawan itu pernah keluar Umno pada 19 Mei 2008.

Sementara itu, ditanya mengenai beberapa insiden melibatkan Datuk Seri Jamal Yunos yang menggerakkan NGO Baju Merah, mereka berpendapat tindakan ketua Umno bahagian Sungai Besar itu terlalu beremosi dan ia tidak menggambarkan parti.

Bagi Ahmad Shibee, beliau selaku orang lama di dalam Umno menasihatkan Jamal agar tidak terlalu beremosi dan tidak dapat diterima.

Justeru, beliau menasihatkan agar generasi muda pada masa kini tidak terlalu mengikut emosi dan sentiasa ingat tentang perjuangan 'orang lama' di masa lalu.

"Mereka ini ikutkan emosi. Emosi tak dapat dikawal. Semasa mereka buat sesuatu benda tak fikir apa akan berlaku. Kebaikan ke keburukan. Saya tak terima apa yang mereka buat," kata Ahmad Shibee yang merupakan anggota Umno Batu Pahat, Johor.

Monaliza yang telah menjadi ahli Umno selama 15 tahun pula berkata, apa yang dilakukan Jamal tidak menggambarkan Umno secara keseluruhan.

"Mungkin dia emosi. Kita tak boleh anggap semua pemimpin Umno sama. Kita (Umno) tak amalkan politik kebencian.

"Sudah tentu saya tidak bersetuju dengan keganasan sebab itu bukan budaya Umno. Apa pun ia tak menggambarkan Umno ini sebuah parti yang ganas," kata Monaliza.

Seorang penolong ketua setiausaha Pemuda Umno Penampang, Sabah, Shah Iskandar berkata tindakan yang dilakukan oleh NGO Baju Merah bukan membawa imej parti.

Tetapi, katanya apa yang berlaku adalah secara kebetulan memandangkan NGO berkenaan diketuai oleh seorang ketua Umno bahagian.

"Tindakan yang dibuat bukan atas dasar parti. Macam di Komtar (Pulau Pinang), bukan dirancang oleh parti tapi NGO. Cuma kebetulan NGO diketuai seorang ketua bahagian.

"kalau tengok dari segi keganasan, tiada kecederaan atau apa-apa. Mungkin tindakan itu nampak sedikit kasar, tapi kalau sebenarnya kita tengok ini semua gambaran sahaja. Maksudnya mungkin individu tersebut diprovokasi.

"Kalau tepuk tangan sebelah tak berbunyi. Contoh lain kalau kita berdemonstrasi, tak ada provokasi, tak akan tercetus benda-benda yang akan huru-harakan keadaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-