Friday, December 30, 2016

Najib senaraikan pembangunan usahanya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tulisan terbaru di blog hari ini memilih untuk membidas pihak-pihak tertentu, khususnya pembangkang yang didakwanya sengaja buat-buat tidak nampak pembangunan yang diusahakannya.

Menurutnya, pentadbirannya telah menjalankan pelbagai pembangunan yang mencipta beratus ribu peluang pekerjaan.
“Antara projek pemangkin ekonomi berlandaskan pembangunan secara besar-besaran seperti MRT, Lebuhraya Pantai Timur 3, Pan Borneo Highway, LRT 2 dan 3, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Projek-projek seperti ini penting bagi menjana ekonomi di kawasan sekitar dan merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar,” katanya.

Secara sinis Najib berkata pembangkang sengaja mengambil sikap 'buat-buat tidak nampak' dan bersikap seperti katak di bawah tempurung apabila melontarkan hujah itu serta membandingkan dirinya dengan pemimpin lama.

Tanpa menyebut sebarang nama tetapi dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib berkata kerajaan juga sedang membangunkan KL118 iaitu bangunan tertinggi di negara ini.

“Yang aneh, ada yang kata bangunan-bangunan seperti Tun Razak Exchange dan KL118, tidak ada satu tiang pun dibina.

“Saya saran pergilah lihat sendiri tapak pembinaan tersebut sebelum melontarkan tuduhan yang memalukan diri,” katanya di blog rasminya, najibrazak.com, yang turut disertakan rakaman audio ucapan perdana menteri.
Mengulas lanjut, Najib berkata, Malaysia turut menerajui projek pembangunan di peringkat antarabangsa seperti pembangunan Battersea, iaitu satu lagi mercu tanda ikonik di kota London.

"Lihatlah sendiri di internet projek yang mengharumkan nama negara ini. Banyak pembangunan infrastruktur yang dijalankan dalam masa tujuh tahun pertama pentadbiran saya dan memangkinkan ekonomi negara secara berterusan.

"Kepada pembangkang, janganlah bersikap seperti katak di bawah tempurung," katanya.

Menurut perdana menteri, banyak pembangunan infrastruktur yang telah dijalankan dalam masa yang hanya tujuh tahun pertama pentadbirannya, dan memangkinkan ekonomi negara secara berterusan.

Ini termasuk projek seperti Wilayah Iskandar, Rapid Pengerang, Danga Waterfront, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-