Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, December 22, 2016

Pas tak rancang wujudkan kerajaan campuran

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 DISEMBER 2016
SHAH ALAM - Pas menegaskan parti Islam itu masih berada di pihak pembangkang dan tidak akan bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan campuran selepas PRU14.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan berhubung kerjasama dengan Umno, kerana Pas kini komited bersama blok ketiga Gagasan Sejahtera.

“Saya menolak dakwaan mengenai kerjasama tersebut, memandangkan Pas kini komited bersama Gagasan Sejahtera untuk menumbangkan Umno-BN pada PRU14,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendakwa, Pas dan Umno berkemungkinan bekerjasama bagi mewujudkan kerajaan campuran pada PRU14.

Mengulas perkara itu, Idris berkata, kenyataan tersebut tidak berasas kerana Ibrahim bukan sebahagian daripada Pas, mahupun Umno.

“Sebelum dia (Ibrahim) nak cakap begitu, dia kena tentukan dulu dia daripada parti mana,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Pas akan menyokong Umno sekiranya mereka membawa perkara atau isu-isu yang memberi kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Namun katanya, Pas tetap lantang menentang tindakan parti Melayu itu yang membebankan rakyat khususnya dalam isu GST, perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), dana RM2.6 bilion dan sebagainya.

“Apa yang membawa kebaikan kepada rakyat kita sokong, namun apa yang membebankan rakyat, kita akan lawan.

“Sekali lagi saya tegaskan, tiada sebarang kerjasama lagi antara kedua-dua pihak sehingga kini,” katanya.