Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, December 21, 2016

'Selangor bukan milik PKR', PAN melenting selepas dilarang bertanding PRU14

by admin-s

(Malaysian Digest) – Parti Amanah Negara (PAN) dilihat berang dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei yang menyarankan PAN serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak meletakkan calon di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad menyifatkan kenyataan Shuhaimi sebagai tidak masuk akan selain menegaskan bahawa “Selangor bukan milik PKR.”

“Bukan hak mana-mana parti untuk menghalang parti lain. Selangor bukan milik PKR. itu sebab kena bincang. Kenyataan-kenyataan pramatang seperti ini tidak membantu,” katanya dipetik portal berita BNBBC.my.

Shuhaimi dalam temubual bersama sebuah akhbar arus perdana membayangkan PPBM dan PAN berkemungkinan tidak akan bertanding di Selangor serta Pulau Pinang dengan alasan untuk memastikan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

“Keadilan (PKR) Selangor bersetuju strategi satu lawan satu melawan BN dapat dicapai dengan menyeru PPBM memberikan lebih fokus serta tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri-negeri lain yang belum dikuasai pakatan (pembangkang).

“Bagaimanapun, kita akur dengan sebarang arahan pimpinan (PKR) Pusat. Pembahagian kerusi hanya ditentukan di peringkat Pusat dan Keadilan Selangor akan memberikan cadangan bersesuaian secara tertutup,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Shuhaimi, Khalid Samad menggesa satu pertemuan tertutup membincangkan isu pembahagian kerusi Pakatan Harapan Selangor diadakan agar tiada insiden memalukan terjadi.

“Maka saya cadangkan untuk supaya tidak dibincang secara terbuka begini kerana mungkin mendatangkan respon yang memalukan sesama kita.

“Cuma saya anggap ianya sekadar keluhan pimpinan PKR Selangor yang kebingungan tak tahu cara melayani kerenah PAS,” katanya lagi.