Wednesday, December 28, 2016

Siti Kasim selar syarikat bas asingkan kerusi lelaki, perempuan

FMT Reporters 
December 28, 2016
Bagaimanapun, syarikat bas berkenaan mempertahankan dasar yang dilaksanakan sejak Februari tahun lalu, dan mengarahkan penumpang berpasangan menunjukkan sijil nikah ketika beli tiket.
PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Siti Kasim menyelar pengendali perkhidmatan bas ekspres TransMalaya kerana melaksanakan pengasingan jantina penumpang dalam bas mereka.

“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?,” katanya di Facebook.

Komennya yang dimuat naik tengah hari tadi ialah respons kepada laporan Malay Mail Online (MMO) awal hari ini, yang memetik pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli yang menguruskan TransMalaya, sebagai berkata pengasingan itu dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.

Noorlini berkata beliau dan suaminya yang juga CEO syarikat itu, Amir Khairul Amri Budiman Khairuddin mendapat idea untuk melaksanakan inisiatif itu berdasarkan kepada pengalamannya ketika menaiki bas dalam perjalanan jauh secara bersendirian.

Mereka juga pernah menyaksikan sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh ketika duduk bersama.

“Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka, dan pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam bas yang boleh dilihat oleh penumpang lain.

“Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya. Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas berseorangan selalu terdedah kepada bahaya,” katanya kepada portal berita itu.

TransMalaya menyediakan perkhidmatan bas ekspres bagi perjalanan jauh dan isu penumpang wanita duduk di sebelah lelaki yang tidak dikenali dalam perjalanan jauh menjadi keutamaan Noorlini.

“Kami mendengar dan membaca laporan bagaimana penumpang wanita dicabul lelaki tidak dikenali, jadi kami ambil usaha ini untuk memberikan mereka rasa selesa dan selamat.

“Ia diguna pakai untuk kedua-duanya Islam dan bukan Islam. Kami hanya mahu mengelak kejadian tidak diingini,” katanya dipetik sebagai berkata tindakan itu mendapat sokongan ramai pelanggan, tanpa mengira bangsa dan agama.

Noorlini berkata pelanggan diberitahu terlebih dahulu yang syarikat mereka mengenakan pengasingan gender di dalam bas.

“Bila pelanggan beli tiket, kami akan beritahu kerusi yang masih ada. Ada yang kata ok jika lelaki duduk di sebelah mereka tetapi kebanyakannya memilih untuk duduk di sebelah perempuan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pasangan Islam yang membeli tiket bersama akan diminta menunjukkan sijil nikah.

Siti membantah tindakan syarikat itu yang memerlukan pasangan menunjukkan sijil nikah ketika membeli tiket.

“Kita patut rasa terhina dan marah dengan orang seperti ini yang cuba membuat macam kita ini bodoh dan gila seks,” katanya ketika berkongsi artikel MMO di laman Facebook.

Ketika ditanya jika ada penumpang berbeza jantina yang bertegas mahu duduk bersama, Noorlini berkata mereka biasanya akan duduk di depan supaya pemandu bas boleh memantau mereka.

“Bila berlaku seperti itu, kami biasanya beri mereka duduk di kerusi depan. Kami akan cuba nasihat mereka jangan duduk bersama, tetapi jika tidak terima nasihat, maka kami beri kerusi depan supaya boleh perhatikan mereka,” kata Noorlini.

Polisi TransMalaya dalam mengasingkan gender itu hampir serupa seperti di Kelantan, di mana lelaki dan wanita duduk berasingan di pawagam, dan kaunter pembayaran berbeza untuk lelaki dan wanita di pasar raya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-