Thursday, January 12, 2017

Anina digugur Ketua Srikandi disebabkan 'Prestasi' tidak munasabah - Penganalisis Politik

 AIDCNEWS
SHAH ALAM: Alasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggugurkan Anina Saaduddin daripada jawatan sementara Ketua Srikandi dengan mengaitkn isu ‘prestasi’, tidak munasabah.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan, alasan pengguguran Anina yang diumumkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih menjurus kepada isu peribadi dan juga krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti itu.

“Namun dari segi spekulasi itu, isu peribadi sebenarnya lebih dikaitkan kenapa beliau digugurkan dari jawatan tersebut. Bagi saya apa jua alasan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi iaitu prestasi, ia alasan yang tidak begitu munasabah.

“Kerana dalam satu tempoh yang agak singkat, bagaimana kita mahu mengukur prestasi beliau, sedangkan prestasi pemimpin lain tidak pula dijadikan kayu ukur,” katanya kepada Antarapos.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata pengguguran Anina adalah kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan parti.

Menurut Muhyiddin, keputusan itu dibuat oleh pihak kepimpinan tertinggi parti setelah menilai tahap kepimpinan pemimpin wanita itu.

Muhyiddin malah menafikan keputusan pengguguran Anina disebabkan masalah peribadi seperti yang tersebar sebelum ini.

Namun Martadha berpandangan, punca sebenar kepada pengguguran Anina adalah kerana isu peribadi, di mana isu berkenaan dikhuatiri menjadi faktor yang menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti yang baru berusia kira-kira tiga bulan itu.

“Jadi mana-mana elemen yang boleh dianggap mengurangkan sokongan dan beri imej negatif kepada parti, maka elemen itu perlu dikurangkan. Itulah sebenarnya, bagi saya refleksi kepada apa yang berlaku kepada Anina,” katanya lagi.

Anina sebelum ini dilaporkan disingkir daripada memegang jawatan Ketua Srikandi PPBM, dan keputusan itu dikaitkan dengan dakwaan bahawa beliau mempunyai hubungan intim dengan bekas pembantunya.

Perbualan intimnya melalui aplikasi Whatsapp tersebar luas namun Anina menepis dakwaan itu.

Dalam pada itu Martadha juga tidak menolak pengguguran Anina berkemungkinan turut berhubung kait dengan krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti.

Beliau turut mengaitkan insiden pengunduran beberapa individu daripada parti itu sebelum ini, iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hasan dan Senator Datuk Ezam Mohd Noor.

“Mungkin ada kalangan pemimpin parti yang begitu tak sealiran dengan Khairuddin mahupun Anina, dan mungkin pengaruh mereka mengganggu gugat pemimpin tertentu dalam PPBM sendiri.

“Jadi itu bagi saya, selain isu peribadi, isu kepimpinan juga boleh dikaitkan salah satu sebab kepada penyingkiran Anina dan peletakan jawatan oleh Khairuddin sebelum ini,” katanya lagi 

AP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-