Tuesday, January 3, 2017

Beli ikan longgok dalam pinggan, parut kelapa dari kampung

 ARIF ATAN
Harga barangan basah bagi tahun baharu 2017 ini dibimbangi menjadi bertambah mahal apa lagi menjelang musim perayaan

Tahun baharu 2017 menyaksikan harga barangan makanan terutama kategori barang basah semakin mahal.

Rata-rata pengguna terutama kaum ibu mengeluh dengan harga santan dan pelbagai jenis ikan di pasaran yang sudah sampai tahap mampu lihat, bukan mampu beli.

Di Rawang, Selangor misalnya, harga santan hari ini sudah mencecah RM8 sekilogram berbanding RM7 ketika sambutan Hari Aidiladha tahun lalu.

Namun, harga santan di Dengkil, Sepang juga hari ini jauh lebih mahal apabila mencecah RM10.50 sekilo.

Sementara itu di Pandan Indah, Selangor 500 gram santan dijual dengan harga RM4.50.

Walaupun banyak pihak menganggap harga barang basah di kawasan luar bandar lebih rendah berbanding bandar tetapi tanggapan tersebut mungkin tidak lagi relevan sekarang. Buktinya, harga santan di Bachok, Kelantan juga dijual RM8 sekilo menyamai Hulu Selangor.

Tinjauan Malaysia Dateline di pasar pagi Bukit Sentosa, Hulu Selangor hari ini turut menyaksikan mahalnya harga pelbagai jenis ikan, udang dan sotong.

Beberapa peniaga yang ditemubual mengakui mereka terpaksa menjual harga sedemikian dengan margin untung yang kecil kerana telah menerima harga yang sudah sedia tinggi daripada pembekal.

Ikan kembung yang sebelum ini dianggap ikan yang lazim jadi pilihan marhaen misalnya sudah dijual RM15 sekilo manakala selar dan kerisi masing-masing dijual RM14 dan RM13 sekilo.

Keluarga yang dalam usaha berjimat dalam perbelanjaan dapur mungkin hanya mempunyai pilihan membeli ikan pelaling, cencaru dan ikan sardin yang dijual pada harga RM9 kilogram selain keli RM7 sekilo manakala sekilo talapia RM10.

Sementara itu, banyak jenis ikan lain serta udang, sotong dan kerang sudah di tahap bukan lagi harga mampu beli bagi mereka yang berpendapatan rendah walaupun ekspo pertanian dan makanan antara terbesar di rantau ini, Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism International Show (MAHA) diadakan sejak 2002.

Rata-rata barang basah tersebut sudah berlegar pada harga melebihi RM20. Antaranya, ikan senangin dan nyok-nyok masing-masing RM22, jenahak (RM26), bawal (RM25), pari (RM24), udang kecil (RM22) serta sotong (RM20) manakala kerang dan siakap sekilo masing-masing RM18.

Ada kaum ibu di Lembah Klang kembali mengukur kelapa dengan bekalan kelapa diangkut dari kampung ekoran harga kelapa parut dan santan yang semakin mahal

Mengulas situasi harga barang basah yang mahal pada masa ini, rata-rata kaum ibu terpaksa mengambil langkah berjimat pada tahap optimum tambahan sejak November lalu sebahagian harga minyak masak naik dengan sebotol yang seberat 5 kg naik dari belasan ringgit kepada lebih RM20.

"Taraf kita sekarang beli ikan longgok dalam pinggan saja. Masak apa yang ada saja. Berjimat selagi boleh," kata Mai Suharah Basaruddin dari Segambut, Kuala Lumpur.

Bagi Salmiyah Harun pula, kali terakhir beliau membeli santan adalah pada musim perayaan Aidiladha tahun lalu lantaran kembali kepada cara tradisi memperoleh kelapa parut serta santan.

"Kali terakhir saya beli santan dengan harga RM6 sekilo di pasar Kajang masa Hari Raya Haji lepas. Sekarang, sudah ada kukur kelapa. Bawa dari kampung. Kelapa pun dari kampung," ceritanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Tidak kurang juga yang kembali menjadikan kuih tradisi sebagai menu sarapan dengan memanfaatkan hasil tanaman di sekeliling rumah sebagai langkah berjimat seperti dilakukan keluarga Khalijah Shaari dari Bukit Beruntung, Selangor.

"Lepek pisang ini makanan orang Perak dulu-dulu. Tepek pisang yang sudah digaul dengan tepung dan sedikit gula atas daun pisang kemudian bakar. Makan waktu panas. Makanan di luar dah makin mahal. Kuih pula telan sekali hilang (terlalu kecil). Tak berbaloi. Sekali-sekala bolehlah," ujarnya lagi yang berasal dari Bagan Datoh.

Bagi yang berkebun keliling rumah hasil tanaman dimanfaatkan dengan kembali kepada menu tradisi seperti lepek pisang ini sebagai antara langkah berjimat

Dalam hal berkaitan, Dr Mohd Yusof Saari dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan bebanan kos sara hidup yang dirasai isi rumah pada masa ini akibat daripada pergerakan tingkat harga yang meningkat lebih tinggi berbanding kenaikan kadar upah.

"Hal ini menyebabkan isi rumah terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Analisis pelbagai pihak sebelum ini mendapati 53 peratus daripada peningkatan harga dalam ekonomi disumbang oleh peningkatan harga makanan," ujarnya dipetik daripada artikel beliau baru-baru ini.

Terdahulu dalam satu forum di ibu negara, September lalu, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM itu berpendapat Malaysia sebenarnya mengalami masalah struktur serta tidak konsisten daripada segi pelaksanaan polisi sehingga menyebabkan berlaku peningkatan kos barangan makanan walaupun harga minyak turun.

“Struktur kita bermasalah. Kenapa harga makanan tidak turun padahal harga minyak turun? Kita memerlukan perubahan struktur. Buatlah subsidi sana, sini, masalah (peningkatan kos sara hidup) tidak berubah,” ujarnya.

Dr Mohd Yusof turut menekankan tentang gejala peningkatan pendapatan isi rumah yang tidak seiring dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu ukuran bagi kenaikan purata harga barangan dan perkhidmatan.

Peningkatan kos sara hidup diburukkan lagi dengan prestasi nilai mata wang ringgit yang terus jatuh merudum kepada RM4.48 bagi setiap dolar AS akhir tahun lalu sekaligus paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998.

Sejak 1 November tahun lalu harga minyak masak naik melampau sehingga 60 peratus akibat kerajaan membatalkan subsidi bahan keperluan utama itu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-