Thursday, January 5, 2017

Cara DAP ikat PKR

 AIDCNEWS
“MEREKA merancang (tipu daya), dan Allah juga merancang (membalas tipu daya) dan Allah sebaik-baik perancangan.” (surah Ali Imran)

DAP sedaya upaya mungkin memastikan agar partinya menguasai dan memiliki. Demi menjayakan agenda tersiratnya, komponen takhta, harta dan wanita tersangat penting. Dalam pelbagai percaturan dan situasi, mereka mesti dilihat mengungguli.

Tidak pelik Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik. Itulah bukti petunjuk kepada matlamat ingin dicapai DAP.

Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya. Itulah ‘dedak’ yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat.

Sekiranya jawatan itu penting dan perlu atau DAP mempunyai perancangan yang lestari, sudah tentu selewat-lewatnya jawatan tersebut diwujudkan selepas PRU13 lalu iaitu penggal kedua menerajui Kerajaan Negeri.

Tetapi ia bukan sahaja wujud menghampiri hujung penggal atau PRU14 semakin dekat, malah setelah LGE sendiri telah mengumumkan pengganti jawatan KM itu. Bermakna jawatan itu bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi bermotif kepartian.

Dipilihnya itu pula ketika ini adalah orang penting PKR yang walaupun secara rasminya menetapkan kedudukan di dalam Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU, tetapi masih menunjukkan ‘sayang dan rindu’ kepada PAS di mana tidak pernah lafaz talak berlaku.

Kebimbangan itulah mendesak DAP membuat tindakan ‘strategik’ mengikat Saifuddin yang baharu sahaja sebelum ini dilantik sebagai SUA PKR. Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai ‘penimbang tara’ terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam koalisi PH – BERSATU.

Tidak sukar DAP untuk melakukan ‘jual beli’ sedemikian sementelah lagi diketahui umum akan ‘harga diri’ Saifuddin yang pernah bersalah atas kes fitnah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Maruah dan kepentingan rakyat daripada mandat diberikan bukan tanggungjawab padanya.

Malah, kurang seminggu lalu, DAP menzahirkan sikap hipokritnya apabila menggunakan status sebagai Kerajaan Negeri untuk memastikan projek perumahan di negeri itu dapat dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Normal sahaja untuk kepentingan rakyat seperti itu kedua pihak mengadakan kerjasama. Malah, supaya tercapai kerjasama itu, pihak Kerajaan DAP Pulau Pinang berurusan dengan seorang Adun BN Pulau Pinang.

Sehingga demikian rupa DAP ‘melutut’ kepada wakil BN yang selalu mereka bertelingkah itu. Bahasa mudahnya juga bodek dan ampu. Tidak mengapalah, silakan agar hak dan kepentingan rakyat diperoleh.

Tetapi bagaimana jika perkara seumpama dilakukan PAS. Sudah tentu diratib bala tentera upahan dan sekutu mereka dengan kalimah “UG, UG, UG, UG, UG” dan tuduhan PAS mahu bergabung dengan Umno.

Seperti itulah nasib PAS lalui dalam usaha kerjasama untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali ringkas sebagai Akta 355. Sedangkan ia berlaku antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan (G to G) iaitu Exco Kerajaan Negeri bertemu Menteri, bukan wakil Umno.

Namun, segalanya boleh bagi mereka dengan mendalangi perang saraf, manipulasi dan sensasi. Reputasi PAS mesti dicalar sehabis mungkin setelah gagal diperkuda dan diperalatkan.

Biarlah DAP menyusun gerak perancangannya dengan himpunan segala dimilikinya demi menguasai. Tetapi PAS juga bertindak dan bersandar atas keyakinan iman bahawa semuanya dalam pengetahuan Allah Yang Maha Perkasa. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-