Friday, January 6, 2017

Dakwaan harga barang naik tidak benar

ASSIM HASSAN

KOTA KINABALU 5 Jan. - Dakwaan pembangkang bahawa harga barang kawalan menjelang perayaan Tahun Baru Cina naik mendadak disifatkan tidak benar dan hanya bertujuan memburuk-burukkan kerajaan.
Aminah Ambrose
Sambil menyifatkan dakwaan itu berniat jahat, Timbalan Pengerusi Skuad Pengguna Sabah, Datuk Aminah Ambrose menegaskan, tiada kenaikan harga berlaku menjelang perayaan kaum Tiong Hua itu.

Malah jelasnya, dakwaan liar itu hanya mahu menanam kebencian rakyat kepada kerajaan sekali gus menimbulkan suasana panik.

"Penyokong pembangkang menyebarkan berita tidak benar. Ingin saya tegaskan bahawa tiada kenaikan harga berlaku pada barang kawalan.

"Sebaliknya, kerajaan menyediakan subsidi bagi membantu rakyat dalam mendepani beban hidup," katanya yang mengulas dakwaan salah seorang ahli Parti Warisan Sabah, Joanna Sue Henly Rampas yang mendakwa harga barangan naik menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Aminah meminta rakyat supaya mengambil pendekatan bijak dengan memboikot mana-mana peniaga yang dilihat menjual barangan pada harga yang tinggi.

Ujar beliau, pengguna juga boleh membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di talian 1800886800 sekiranya mendapati terdapat peniaga yang menaikan harga barangan.

"Selaku pengguna yang bijak, rakyat wajar menggunakan kuasa mereka dalam berbelanja. Jika terdapat peniaga yang menipu dengan meletakkan harga tinggi... aduan boleh dibuat dengan segera," katanya.

Selain itu, Aminah menyelar tindakan pembangkang yang sengaja `mencipta' cerita tidak benar sekali gus menuding jari kepada kerajaan.

Beliau mengingatkan pengguna di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan janji kosong parti pembangkang yang sememangnya pandai membuat pelbagai janji tetapi tidak mampu ditunaikan.

 - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dakwaan-harga-barang-naik-tidak-benar-1.428400#sthash.bZHC8jci.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-