Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, January 9, 2017

Himpunan 355: PAS jumpa datuk bandar buat rayuan

Khairil Ashraf 
January 9, 2017

Pengarah program menaruh harapan diberi kebenaran menggunakan Dataran Merdeka meneruskan himpunan pada 18 Februari ini.
PETALING JAYA: Penganjur Himpunan 355 akan membuat rayuan terhadap kegagalan mereka memperoleh kebenaran menggunakan Dataran Merdeka bagi melangsungkan program itu.

Pengarah program, Nasruddin Tantawi berkata pihaknya akan berjumpa dan berbincang dengan Datuk Bandar KL Datuk Mhd Amin Noordin Abdul Aziz bagi meneruskan program untuk mengadakannya di Dataran Merdeka.

“Kita sudah hantar permohonan sejak seminggu lalu dan sudah menerima jawapan. Permohonan kami ditolak. Justeru, kami mengambil keputusan berjumpa beliau untuk membuat perbincangan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Pada 7 Januari lalu, pengerusi program Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan PAS akan menganjurkan himpunan solidariti Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Beliau berkata, himpunan itu bertujuan menunjukkan sokongan orang Islam terhadap RUU itu, selain memberi penjelasan mengenainya kepada orang bukan Islam.

Datuk bandar sebelum ini dilaporkan tidak membenarkan PAS menganjurkan Himpunan 355 di Dataran Merdeka dan mencadangkan penganjur mengadakannya di Stadium Titiwangsa.

“Tidak Dataran, tiada rundingan,” kata beliau.

Mengulas cadangan lokasi baru, Nasruddin berkata pihaknya enggan memberi sebarang komen dan berharap perjumpaan kelak akan membuahkan hasil.

“Nanti dulu, kita tak nak buat spekulasi lagi. Kita nak jumpa dulu, nak bincang, tengok macam mana,” katanya.