Friday, January 20, 2017

Hukum juga penceramah guna surau untuk politik, kata Amanah

FMT Reporters
January 20, 2017
Amanah berpandangan tindakan Khalid Samad yang menceritakan pengalaman di Palestin tidak boleh dianggap sebagai “mengajar agama” sehingga memerlukan tauliah.
PETALING JAYA: Amanah menggesa pihak berkuasa agama turut mengambil tindakan terhadap agamawan yang menggunakan surau untuk menyampaikan ceramah politik, sama seperti apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Kata Wan Anwar Wan Ibrahim timbalan pengerusi biro undang-undang Amanah (Kanun), “Ini kerana mereka ternyata tidak peduli akan peraturan tauliah oleh pihak berkuasa agama.”

“Kami hairan mengapa tiada tangkapan dan pendakwaan terhadap penceramah yang jelas berceramah politik beralaskan agama, dengan mengutuk Amanah di masjid dan surau di Selangor.

“Kami menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut mengambil tindakan ke atas mereka,” kata timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Wan Anwar turut menggesa Jais menyiarkan senarai penceramah yang mendapat tauliah mereka untuk rujukan orang awam. Beliau juga menambah perkongsian tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai “mengajar agama” yang memerlukan tauliah.

Semalam Mahkamah Rendah Syariah Klang menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara 3 bulan terhadap Khalid kerana didapati bersalah menyampaikan ceramah tanpa tauliah 6 tahun lalu. Khalid selepas itu berkata, beliau hanya menceritakan pengalamannya di Palestin selepas dijemput pihak surau sendiri.

“Khalid hanya berkongsi pengalaman. Kami bimbang tafsiran tersebut (sebagai mengajar agama) boleh menggugat hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor itu didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) kerana berucap di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, antara 10 malam hingga 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.

Memetik laporan FMT 4 Januari lalu, ketua pengarah Jais Datuk Haris Kasim berkata penceramah yang menyampaikan ceramah di luar bidang tauliah, seperti muammalat, tajwid atau usuluddin, dianggap melakukan kesalahan dan tauliah mereka boleh ditarik balik.

Jais sebelum ini menegaskan Selangor tidak mentauliahkan ahli politik untuk berceramah di masjid dan surau di Selangor selari dengan permintaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah yang bertegas mahukan masjid dan surau di Selangor “bebas politik”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-