Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, January 14, 2017

Laporan polis dibuat terhadap Gerakan ekoran pertikai sekolah agama

14 Januari 2017 | BORHAN AHMAD
Gerakan terus dipertikai kerana dakwa sekolah agama punca merebakkan fahaman ektremis.

Tindakan parti Gerakan yang mempertikaikan kedudukan sekolah agama di negara ini terus mendapat bantahan dari pelbagai pihak dan laporan polis terhadapnya mula dibuat.

Hari ini, Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan membuat laporan polis ke atas Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mempertikaikan sekolah agama itu.

Laporan polis itu akan dibuat petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 9, Shah Alam Selangor.

Walaupun Dr Dominic dikatakan telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu, ia masih tidak disenangi.

“Demi keamanan dan kestabilan, saya menarik balik kenyataan saya dan meminta maaf jika ada kesalahan dan berharap tidak ada lagi isu mengenai perkara ini.

“Kebimbangan utama sebenar saya, yang ingin saya sampaikan pada sidang media itu, meminta kerajaan mempertingkatkan langkah membendung penyusupan dakyah ekstremis dan pengaruh asing dalam sekolah agama,” kata Dominic dalam kenyataannya.

Semalam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempertikaikan kenyataan Dr Dominic itu.

Setiausaha Agung GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata Gerakan sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) harus tampil memberikan penjelasan kepada umat Islam di negara ini khususnya yang mendapat pendidikan asas di sekolah agama hingga ke pusat pengajian tinggi awam negara.

"Di saat ketidaktentuan politik dan rakyat berpecah belah di tambah pula sentimen agama Islam yang di mainkan oleh Gerakan ini menunjukkan bahawa parti ini semakin hilang arah , tidak menghormati sistem pendidikan agama lain dan tiada lagi mempunyai semangat perpaduan kaum di Malaysia," ujarnya.

Dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan dua hari lepas, Datuk Dr Dominic dipetik berkata, sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular.

Dakwaan beliau berdasarkan rangka tindakan pendidikan kerajaan sendiri yang menyatakan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan terdiri sepenuhnya daripada pelajar Bumiputera.

Beliau juga mendakwa sekolah agama mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan mereka yang mempunyai fahaman ekstremis Islam.

Turut mempertikaikan Gerakan adalah bekas ahli parti itu, Dr Redhuan Tee yang menyifatkan kedudukan sekolah agama selari dengan perlembagaan persekutuan berbanding sekolah vernakular.