Monday, January 9, 2017

Malaysia masih boleh jadi negara China, sindir Zam

Malaysia masih boleh menjadi negara China tanpa rakyat republik itu membawa balik tanah negara ini ke tanah besarnya, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin.

Sindirnya yang juga adalah bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, sudah tiba masanya untuk dihapuskan Tanah Simpanan Melayu kerana tanah berkenaan tidak akan boleh dibawa balik ke republik China.

"Maka itu, sudahlah sampainya bagi memenuhi nafsu liberalisme dan globalisme (Datuk Seri) Najib (Razak) & (Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abdul Aziz), kita hapuskan Tanah Simpanan Melayu.
"Ini kerana tanah-tanah itu, menurut peguam Umno yang tidak gila atau pun tidak tiga suku Nazri Aziz tidak akan boleh dibawa balik ke negara China," katanya yang juga dikenali dengan panggilan Zam dalam blognya.

Semalam, Mohamed Nazri menyifatkan Mahathir sebagai 'gila' apabila mendakwa tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadikan Malaysia negara asing.

"Dia gila. Kita jual tanah kepada kedutaan untuk buat bangunan kedutaan. Syarikat luar untuk membina projek mereka, ini bukan satu kesalahan.

"Sedangkan sebelum ini banyak juga tanah telah dijual ketika zaman Tun Mahathir lagi. Kenapa dia tidak fikir pasal itu masa dia jual tanah," soal Nazri.

Mengulas lanjut, Zam berkata, beliau ingin mempersoalkan siapa yang sebenarnya gila.

"Jika liberalisme Nazri wujud sejak lepas merdeka di era Tunku (Abdul Rahman) dan Tun Abdul Razak, barangkali sudah tidak ada kampung Melayu hari ini seperti tidak adanya lagi penguasaaan Melayu ke atas Felda kecuali hanya diatas kertas," tambah beliau.

Pada masa yang sama, Zam turut mengimbau sejarah negara yang menyaksikan kerajaan Umno dahulu yang mempertahankan pemilikan tanah dan hartanah untuk orang Melayu.
"Pendatang dari China mulanya hanya membeli beberapa buah kedai di bandar-bandar di Malaya dan tidak membawa kedainya balik ke China tetapi akhirnya menjadikan semua bandar-bandar di Malaya dan Malaysia sebagai pekan China.

"Kerajaan British dan seterusnya kerajaan Malaya dan Malaysia mengekalkan tanah simpanan Melayu supaya orang Melayu tidak boleh menjual tanah dengan sewenang-wenang kepada orang asing dan bagi mengekalkan pemilikan dan penempatan Melayu.

Selain itu, katanya, Abdul Razak melaksanakan inisiatif penubuhan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) bagi membantu orang Melayu menyaingi orang China dengan menyediakan kedai atau tapak perniagaan bagi orang Melayu di kawasan bandar.

"Tun Mahathir juga menerusi PNB berjaya merampas semula seluas lebih 200,000 ekar tanah getah dan kelapa sawit yang dimiliki oleh British (Guthrie) menerusi serangan waktu subuh di London Stock Exchange pada 7 September 1981," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-