Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, January 18, 2017

Najib: Apa alternatif lebih baik daripada GST?

Predeep Nambiar
January 18, 2017

Najib berkata, sudah sampai masanya mereka yang menentang GST 'berehat'.
KUALA KETIL: Datuk Seri Najib Razak bertegas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadikan Malaysia “lebih sihat” dari segi kewangan, beberapa hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menghapuskan cukai kontroversi itu jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang menyifatkan GST sebagai ubat pahit tetapi berkesan untuk ekonomi negara, menggesa penentang cukai 6% itu berhenti membantahnya kerana ia menyumbang RM40 bilion kepada pendapatan kerajaan.

“Ia adalah okey untuk mempunyai perbezaan pendapat, tetapi sila beri kami alternatif lebih baik daripada apa yang kami lakukan hari ini.

“Apakah alternatif lebih baik? Cukai jualan dan perkhidmatan? Itu tidak mencukupi.

“Apabila mencadangkan sesuatu, ia perlu berdasarkan realiti. Jika tidak, kita akan menipu rakyat,” katanya pada majlis “Sepetang Bersama PM” anjuran Umno Bahagian Baling di Padang Awam Kuala Ketil, hari ini.

Perdana menteri berkata, tanpa GST, kerajaan akan menghadapi masalah membayar gaji dan pencen penjawat awam.

Katanya, rakyat Malaysia sepatutnya menganggap diri bertuah kerana India bercadang memperkenalkan cukai penggunaan yang boleh mencecah 23%.

Ahad lalu, Dr Mahathir berjanji akan menghapuskan GST yang didakwa ramai sebagai punca kenaikan kos sara hidup.

Bekas perdana menteri itu berkata, GST akan dihapuskan beransur-ansur dengan cukai jualan.

GST diperkenalkan pada April 2015 bagi menggantikan cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6%.