Saturday, January 21, 2017

PAS ajak semua kaum buat perubahan PRU14 sempena Gong Xi Fa Cai

Oleh KAM

DUNGUN – PAS mengajak seluruh masyarakat pengundi Melayu, Cina dan India agar bersedia membuat perubahan kepimpinan negara dengan mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata jika PAS menang semula seperti tahun 1999 di peringkat Malaysia banyak perkara boleh dilaksanakan.

Namun, katanya rakyat hari ini menghadapi kesukaran kenaikan harga barang yang tinggi serta cukai yang mahal.

Ini kerana, menurutnya kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah tidak pandai mentadbir dan mengurus negeri.
“Kita kena pakat Melayu, Cina dan India sama-sama untuk buat perubahan, sokong (PAS) lagi pilihan raya ini. Jika kita menang pula seperti tahun 1999 dan kalau boleh menang peringkat Malaysia, banyak kita boleh buat, Insya’Allah.

“Hari ini kita (rakyat) menghadapi harga barang-barang naik, cukai mahal. Ini kerana, kerajaan Umno-BN tidak pandai tadbir, tidak pandai nak urus negeri.

“Malaysia ini, Tuhan beri hasil banyak kelapa sawit ada dan macam-macam lagi. Jadi tidak patutlah kita menyusahkan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 dan Dailog Bersama Presiden PAS di Kampung Batu Lima, Dungun, hari ini.
Dato’ Seri Abdul Hadi mendakwa hasil kekayaan negara ini hanya berlegar di kalangan orang kaya dengan pemerintah.

“Banyak kekayaan harta ini dibahagi antara orang kaya dengan orang yang memerintah (pemimpin) negara. Orang kaya bayar rasuah, komisyen kepada orang yang memerintah.

“Orang memerintah pula terima duit. Masa pilihan raya bahagi duit kepada pengundi RM50, RM500 atau RM1000. Selepas pilihan raya naik cukai dan rakyat yang kena cukai itu.

“Ini semua kita (PAS) nak baiki dan kita tidak boleh baiki selagi kita tidak boleh tukar kerajaan,” tegasnya.
Ustaz Abdul Hadi ketika menjadi Menteri Besar Terengganu tahun 1999 banyak melakukan perubahan ke arah sebuah negari berkebajikan.

Katanya, ajaran Islam dalam memerintah tidak boleh menyusahkan rakyat miskin dengan bebanan cukai.

“Bila kita (PAS) memerintah Terengganu tahun 1999, kita buat seperti ‘Negara Berkebajikan’. Ini diajar oleh Islam dan kita tak mahu bebankan rakyat dengan cukai.

“Cukai orang kaya sahaja yang kena dan orang miskin tak patut dikenakan cukai. Sebab itu, bila kita memerintah dihapuskan cukai pintu rumah kediaman.
“Ini kerana, (waktu itu) kita ada hasil minyak (royalti). Walau pun lima peratus sahaja kerajaan pusat beri kepada Terengganu tapi cukup untuk kita tadbir negeri dan hapus cukai pintu.

“Tol di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu kita (PAS) hapus kerana semua orang lalu guna jalan itu. Tapi, yang sedihnya bila kita nak tunjuk macam ini, dia (pusat) rampas (royalti) minyak semasa kita memerintah,” jelasnya dihadapan 300 warga tionghua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-