Monday, January 30, 2017

Sasar menang 40 kerusi bukti Pas tak mahu ganti BN

MALAYSIA DATELINE
Mohd Sany Hamzan

Sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan parti itu tidak berhasrat mengambil alih pemerintahan negara daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, Pas secara tidak langsung telah memberi harapan palsu kepada penyokong mereka sendiri yang mengharapkan parti itu menggantikan pemerintahan BN dan semakin jauh daripada semangat rakyat yang ingin membuat perubahan.

"Rakyat Malaysia khususnya kelompok yang masih keliru perlu melihat kenyataan Presiden Pas itu satu perkara serius. Rakyat perlu tahu Pas tidak berhasrat untuk memerintah negara oleh kerana mereka hanya mahu memenangi kerusi yang disasarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal rasmi Pas, Harakahdaily melaporkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, parti itu perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan, memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor, serta mendapat sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen.

Ahli Parlimen Marang itu juga turut mengakui Pas sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri.

Mengulas lanjut, Sany berkata ia memberi gambaran lebih jelas bahawa Pas menyedari mereka tidak mampu memerintah dengan pendekatan politik mereka ketika ini.

Justeru tegasnya, rakyat harus memberi sokongan kepada pakatan pembangkang yang benar-benar komited untuk membuat perubahan dan menolak mana-mana pihak yang tidak bersungguh untuk menghadapi BN.

"Dengan mengundi Pas pada PRU14 nanti akan merencatkan usaha pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia dari cengkaman Barisan Nasional.

"Pemuda Amanah Nasional mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan dokongan sepenuhnya Pakatan Harapan agar harapan untuk menyelamatkan Malaysia terlaksana," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-