Friday, January 6, 2017

Semuanya kerusi PAS, bukan Amanah punya

FMT Reporters
January 6, 2017

Timbalan presiden PAS berkata Amanah tidak wujud pada PRU13 dan kerusi yang mereka duduki sekarang dimenangi atas tiket PAS.
PETALING JAYA: Amanah tidak pernah ada kerusi kerana ia sebenarnya milik PAS apabila parti Islam itu memenanginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata parti itu tidak pernah berniat untuk memecahbelahkan pembangkang, tetapi kritikannya terhadap Amanah hanya demi mempertahankan kerusi dimenangi PAS sebelum ini.

Beliau berkata PAS tidak akan masuk campur urusan parti lain atau pembangkang tetapi terpaksa terus mempertahankan kerusinya daripada dirampas Amanah.

“Amanah perlu sedar, kerusi yang mereka duduk sekarang milik PAS. Mana boleh mereka mengaku itu kerusi Amanah. Masa PRU13 dulu yang bertanding di atas kerusi yang mereka duduki adalah PAS. Masa itu, Amanah pun tidak wujud lagi,” katanya dipetik daripada Sinar Online.

Tuan Ibrahim berkata Amanah perlu belajar menyelesaikan kemelut dalamannya sendiri sebelum menuduh PAS membawa sikap pecah belah ke dalam gabungan pembangkang.

“Saya tengok Amanah ada masalah dalaman sendiri. Kadang-kadang kenyataan pimpinan sendiri pun menggambarkan mereka yang ada masalah.

“Contohnya kenyataan tentang pembahagian kerusi. Kenyataan sesama mereka pun bercanggah. Tak ada persefahaman. Mereka sendiri tidak ada penyatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang meminta PAS berhenti memecahbelahkan rundingan antara pembangkang bagi menghadapi pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-