Wednesday, January 4, 2017

Siasat ahli politik hidup mewah, kata bekas peguam negara

V Anbalagan

Tidak adil menyerang integriti penjawat awam tetapi terlepas pandang gaya hidup ahli politik yang mewah, kata bekas peguam negara.
PETALING JAYA: Bekas peguam negara mempertahankan pegawai kanan awam yang ditegur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bermain golf di luar negara.

Tan Sri Abu Talib Othman berkata agensi anti-rasuah juga perlu melihat kalangan ahli politik yang digunakan pihak tertentu sebagai penganjur dalam acara golf “amal”.

“Siapa yang membuat keputusan mengenai kontrak utama? Adakah penjawat awam atau ahli politik?” katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil menyerang integriti penjawat awam sambil terlepas pandang gaya hidup ahli politik yang didakwa hidup di luar kemampuan mereka.

Abu Talib berkata, pegawai kerajaan dan ahli politik, adalah kakitangan awam dan tidak boleh ada diskriminasi oleh agensi penguat kuasa undang-undang seperti SPRM.

“Undang-undang adalah sama kepada penjawat awam atau ahli politik,” katanya.

Abu Talib, yang berkhidmat sebagai peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993, berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad yang berkata tiada keperluan penjawat awam berpangkat tinggi bermain golf ke Thailand atau Indonesia sedangkan terdapat prasarana mencukupi di dalam negara.

Dzulkifli berkata penjawat awam bukan pemain golf profesional yang diperlukan bermain di luar negara dan tindakan mereka boleh membawa kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau juga berkata, SPRM sedang memantau pergerakan dan aktiviti sekumpulan kakitangan awam.

“Walaupun kakitangan kerajaan yang terlibat mempunyai bukti mereka membayar sendiri perjalanan itu, tetapi sebaik sahaja mereka tiba di luar negara, mereka disambut pihak tertentu,” Dzulkifli berkata, sambil menambah “tuan rumah” juga akan membiayai bil membeli-belah tetamu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-