Tuesday, February 14, 2017

Bekas pengerusi SPR dakwa Umno guna senarai undi naikkan keahlian

FMT Reporters
February 14, 2017

Rashid yang kini pemimpin PPBM mempertikaikan dakwaan Umno mempunyai 3 juta ahli.
PETALING JAYA: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa ketua bahagian Umno menggunakan nama daripada senarai pengundi untuk dijadikan ahli Umno supaya ahli parti berjumlah 3 juta.

Rashid, kini naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata ia dilakukan dengan tujuan menubuhkan cawangan Umno di serata negara.

“Belum tentu lagi betul ke tidak 3 juta… Yang saya tahu dulu, tak ada pun. Hanya sejuta sahaja.

“Yang lain semua ketua bahagian masukkan nama daripada senarai pengundi,” katanya pada satu forum PPBM di Alor Setar, Sabtu lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beberapa pemimpin PKR and DAP lain.

Rashid yang berkhidmat dengan SPR selama 27 tahun sebelum bersara sebagai pengerusinya, bagaimanapun tidak menerangkan lanjut, dan berkata perlu masa berjam-jam untuk menghuraikan apa yang diketahuinya.

Rashid yang pernah menyertai pertubuhan Perkasa, sebelum ini secara terbuka mengaku pernah membantu menyusun persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan tujuan mengekalkan kuasa Melayu.

“Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?” Rashid dilaporkan berkata pada 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-