Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, February 19, 2017

BN menang dengan majoriti lebih besar

LUNDU - Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu hari ini.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hamsein Atar di Dewan Masyarakat Lundu di sini pada pukul 8 malam.

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, manakala Johnny Aput memperoleh 108 undi dan Rapelson 130 undi.

Keputusan itu juga menyaksikan kedua-dua calon PBDS Baru dan STAR hilang deposit.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat yang dilaksanakan Adenan di kawasan itu, BN meletakkan Jamilah, yang merupakan balu Adenan sebagai calon.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

PKR awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Majoriti lebih besar yang diperoleh Jamilah boleh disimpulkan sebagai tanda kepercayaan penduduk Dun Tanjong Datu terhadap kebolehan dan kegigihan Jamilah untuk meneruskan wawasan serta legasi yang ditinggalkan oleh arwah suaminya khusus buat penduduk tempatan.

 - Bernama