Tuesday, February 7, 2017

Forest City: Kebimbangan Mahathir berasas, kata penulis Pas

 BORHAN AHMAD
Forest City menjadi kontroversi apabila Dr Mahathir mengkritiknya tetapi dipertahankan oleh Sultan Johor.

Penulis veteran Pas, Subky Latif menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Forest City dengan menyifatkan apa yang disuarakan bekas perdana menteri itu ada kebenarannya.

Dalam tulisan di media rasmi Pas, Harakahdaily, Subky yang terus kekal dengan Pas berkata, Dr Mahathir ada asas untuk mencurigai projek Forest City ini.

Bagi beliau, apa yang dimuat oleh sebuah media, Bloomberg itu ada perkara besar melibatkan kedaulatan wilayah Johor dan persekutuan.

"Jika benar seperti yang dikatakan itu ia seperti menjual kedaulatan dan wilayah kita kepada kuasa luar sama seperti Tzar Rusia jual kedaulatan Alaska kepada Amerika, antara sebab Lenin marah sangat kepada Raja Rusia," kata Subky merujuk laporan Bloomberg mengenai Forest City.

Bagi Subky, Kedah ada pengalaman dalam isu campur tangan asing ini.
Subky Latif sokong pandangan Dr Mahathir dalam isu Forest City."Kerana Sultannya minta perlindungan Kapten Francis Light bagi mengelak ancaman Siam, membenarkan Inggeris berpangkalan di Pulau Pinang hingga akhirnya Kedah hilang hak atas Pulau Pinang dan Seberang Perai," tulis Subky.

Katanya, orang politik seperti Mahathir mesti peka dan cemburu terhadap sebarang perkembangan yang mengancam kemerdekaan wilayah kerana ia ada sebab dan puncanya.

"Laporan Bloomberg memang mengganggu cemburu kita atas wilayah kita. Membangunkan ekonomi dan menarik pelaburan tidak menghalalkan wilayah kita jadi milik dan takluk asing. 

"Apa salahnya takwil Mahathir bermotif politik kerana politik itulah semangat dan ketahanan bagi memelihara maruah negara," tulis beliau. 

Subky membidas sikap sesetengah pensyarah universiti yang menyerang Mahathir dalam isu ini.

"Orang universiti mesti cerdik bila memperjuangkan pembangunan dan membuat pelaburan asing. Jangan fikir kemudahan prasarana kampus dan kemudahan pembelajaran hasil pembangunan hingga tidak kira wilayah kita dikuasai oleh kuasa asing. 

"Kalau banyak takwil atas kedatangan pemodal dan pekerja asing nanti pelaburan tidak datang. Ini sama dengan fikiran talibarut penjajah yang tak mahu pemikiran kemerdekaan di kalangan anak jajahan. Mereka takut sangat merdeka kerana bila merdeka negara tidak maju," katanya lagi.

Bagi beliau, orang berotak merdeka datang dari orang politik. Fikiran politik itu yang mendorongnya mempertahankan negara dan sedia mati sebagai pahlawan. 

Bagi Subky, orang yang setuju membenarkan pelaburan asing membolot isi wilayah, memonopoli pembangunan dan memiliki hartanahnya, sama seperti orang-orang yang menjemput penjajah datang dulu.

Beliau juga meminta raja-raja memahami semula apa yang dikatakan Mahathir itu.

"Raja-Raja mesti faham kalau wilayah kita satu demi satu hilang kepada kuasa asing, Raja-Raja balik jadi macam zaman penjajah dulu, ikut apa yang penjajah mahu saja," tulisnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-