Tuesday, February 14, 2017

Guan Eng: Tindakan keluar parti 'hadiah' kepada BN

GEORGE TOWN: Tindakan 4 wakil rakyat DAP keluar parti semalam adalah “hadiah” kepada BN menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Menggelar 4 wakil rakyat Melaka berkenaan sebagai pengkhianat, Guan Eng berkata 1 mesyuarat tergempar akan diadakan esok dengan ahli DAP negeri.

Guan Eng menyesal mempercayai Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan Adun Lim Jak Wong, Chin Choon Seong dan Goh Leong San.

Mereka mengumumkan keluar parti semalam atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti kerana DAP sudah terpesong daripada matlamat asal.

“Saya akui kesilapan mempercayai Tong Him dan ketua kumpulan dia akan kekal setia kepada DAP…walaupun ada perbezaan pendapat dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC),” kata Guan Eng dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, bapanya sendiri, Lim Kit Siang, memilih Tong Him untuk menjadi calon DAP untuk kerusi DUN Tengkera di Melaka pada 1986.

“Saya sedih mendengar Tong Him sudah meninggalkan parti yang disertainya sejak 35 tahun lepas tanpa sebarang rasa pilu,” kata Guan Eng, dan menambah dia pernah memberontak beberapa kali sebelum ini.

“Parti merasa kasihan terhadap Tong Him ketika dia berdepan pemecatan, selepas mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas melawan calon DAP di kerusi Kota Laksamana pada pilihan raya umum lepas.”

Mempertikaikan kesetiaan Tong Him kepada DAP, Guan Eng menyifatkan dia memungkiri ikrarnya.

“Tong Him pernah berikrar “hidup dan mati sebagai orang DAP,” katanya.

“Jelas sekali Tong Him memungkiri ikrarnya kepada parti dan penyokong,” kata Guan Eng, dan menambah ada kemungkinan 4 ahli DAP itu meninggalkan parti kerana tidak dapat menerima kekalahan dalam pemilihan parti 2015.

Ketua menteri Pulau Pinang berkata Tong Him dan kumpulannya dalam DAP Melaka menyasarkan parti, terutamanya terhadap kepimpinan negeri dan kebangsaan, dan bukan terhadap BN dan ketua menteri Melaka.

“Sepatutnya mereka bekerja meraih kembali keyakinan ahli DAP Melaka, sebaliknya melawan DAP kerana menolak mereka, menyebabkan mereka digantung selama 1 tahun, kata Guan Eng, menyeru ahli DAP untuk bangkit daripada pengkhianatan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-