Sunday, February 19, 2017

Jamil Khir turut hadir, hujan lebat di Padang Merbok

Wartawan Malaysiakini
 Hari ini, 1:41 tengahari Hari ini, 8:17 malam







LAPORAN LANGSUNG Perhimpunan besar pertama bagi 2017 berlangsung hari ini, yang dianjurkan oleh PAS untuk mendapatkan sokongan terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) yang dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur dari jam 2 petang hingga 11 malam ini.

Sementara itu, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai BEBAS mengadakan himpunan balas pada pukul 3 petang di tasik Taman Jaya, Petaling Jaya bagi menentang pindaan Akta 355.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung:

7.35pm: Hujan renyai mulai turun ketika peserta himpunan menunaikan solat Maghrib, tetapi kemudian bertambah lebat.
Mereka kemudian cepat-cepat beredar selepas solat. Ramai yang tidak membawa payung terpaksa menggunakan kain rentang dan sepanduk untuk berlindung sementara waktu.

Pemimpin himpunan terus menyampaikan ucapan mereka di Padang Merbok.

7.30pm: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki tiba di Padang Merbok bagi menyokong himpunan Akta 355.
Kedua-dua mereka berpakaian warna ungu, iaitu warna tema perhimpunan tersebut.

Mereka dilihat berjalan ke kanopi yang disediakan di Padang Merbok apabila hujan renyai mulai turun.

Semalam, Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa II, menegaskan bahawa mana-mana menteri yang menghadiri perhimpunan tersebut tidak disokong oleh BN atau kerajaan.

7.10pm: Jalan Parlimen- Kelihatan Timbalan Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah tiba di Jalan Parlimen sambil diiringi oleh seorang anggota Unit Amal.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan turut dilihat beramah mesra dengan orang ramai yang ingin bergambar dengannya.

Ketika Malaysiakini bertanya mengenai orang ramai yang dilihat berjalan pulang, Mohd Amar memberitahu bahawa mereka akan datang semula ke himpunan selepas solat maghrib.

"Mereka berehat sekejap, nanti mereka akan datang balik," katanya.

6.50pm: Sepanduk mengingatkan Parti Amanah Negara (AMANAH) agar tidak mendekatkan dirinya dengan musuh-musuh Islam dipamerkan di jalan bersama-sama kain rentang yang mengatakan bahawa penduduk di Bukit Tumbuh menyokong pindaan Akta 355.
Seorang anggota Pemuda PAS yang menayangkan kain rentang itu, Fadil Rahmat, berkata beliau percaya AMANAH tidak akan menyokong pindaan itu selagi mereka bekerjasama dengan DAP.

"Dia (AMANAH) dah jual prinsip dia, orang Islam tak buat macam tu. Dia guna RUU ni untuk serang PAS demi kepentingan politik dia sendiri," Fadil memberitahu Malaysiakini.

'Tarik Gerakan keluar dari BN'

6.40pm: Hanya satu jam selepas perhimpunan balas bagi menentang pindaan Akta 355 selesai, Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mensasarkan ucapan Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong pada acara itu.

Wong berkata ikrar Yong untuk keluar dari Gerakan jika Ahli Parlimen mengundi rang undang-undang Hadi "tidak menarik minat banyak".

Sebaliknya, beliau berkata ahli parlimen Gerakan perlu meletakkan jawatan jika rakan gabungan mereka, Umno menyokong rang undang-undang itu.

"Jika Gerakan mempunyai keyakinan politik dan ikhlas dalam mempertahankan struktur negara daripada dirosakkan ... menteri-menteri kabinet, Mah Siew Keong dan Liang Teck Meng perlu menawarkan diri meletakkan jawatan dan tarik Gerakan keluar daripada BN jika ahli parlimen Umno mengundi rang undang-undang Hadi," katanya.

Beliau menambah Hadi tidak akan dapat membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen jika bukan kerana sokongan Umno.

'Ustaz' berkeris curi tumpuan

6.00pm: Jalan Parlimen- Orang ramai masih lagi berpusu-pusu menuju ke Padang Merbok dari Masjid Jamek.

Bagaimanapun, terdapat juga orang ramai yang berjalan balik dan tidak tunggu sehingga acara kemuncak Himpunan Akta 355 pada malam nanti.
Sementara itu, seorang lelaki mencuri tumpuan apabila hadir pada Himpunan Akta 355 dengan memakai baju Melayu, bersongkok dan bersamping.

Malah lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai 'ustaz' itu juga mengenakan keris dipinggangnya dan membawa sepanduk bertulis:

"Survival undang-undang Islam, Perdana Menteri dan umat Islam sendirilah yang melaksanakannya, memperlembagaankannya dan memartabatkannya, ".

Ketika ditemui Malaysiakini, 'ustaz' dari Petaling Jaya memberitahu, kehadirannya hari ini bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Islam bagi memartabatkan hukum Allah.

Malah, dengan berbaju Melayu, ustaz menjelaskan beliau berpakaian demikian bagi menunjukka jati diri Melayu

"Sebagai umat Islam dan Melayu yang jadi penduduk pribumi, simbolik keris ini menunjukkan kita umat Melayu yang mempunyai tampuk pemerintahan negara yang tegas dan menjunjung dasar Islam," katanya.

Dah boleh buat konsert rock - Azhar Idrus

6.00pm: Padang Merbok: Usai solat Asar berjemaah, peserta Himpunan 355 didengarkan dengan tazkirah oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ahmad Dasuki Abdul Rani.

Ahmad Dasuki dalam tazkirahnya mengingatkan hadirin tentang matlamat himpunan demi memperjuangkan Islam dan menyatakan sokongan padu kepada pindaan Akta 355 yang dicadangkan Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kehadiran kita hari ini matlamatnya satu memperjuangkan Islam," kata Ahmad Dasuki.

Selain tazkirah himpunan petang ini diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Azhar Idrus, Haslim Bahrim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood dan Hafiz Hamidun.

Ketiga-tiga penceramah bebas ini hadir bagi memenuhi slot soal jawab berhubung Akta 355.

Rata-rata peserta juga kelihatan begitu asyik mendengar celoteh penceramah popular di media sosial itu.

Azhar Idrus yang terkenal dengan ceramah menggunakan dialek Terengganu itu juga begitu teruja dan pada awal kehadirannya beliau sempat berswafoto bersama hadirin.

"Ramai betul hari ini, saya lihat di Sogo warna Ungu, Masjid Negara banyak warna Ungu dan di sini selautan warna Ungu. Dengan kehadiran hari ini sudah pastinya boleh mengadakan konsert muzik rock," kata Azhar secara berjenaka dan disambut gelak tawa peserta himpunan.

Hadir sama ketika ini Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz.

Lebih 50,000 banjiri Padang Merbok

6.00pm: Lebih 50,000 orang kini berada di perhimpunan bagi menyokong pindaan Akta 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Padang Merbok kini dibanjiri lautan peserta berbaju ungu dan ribuan duduk di kiri dan kanan Jalan Parlimen serta di padang seberang jalan.

Ribuan lagi bergerak sepanjang Jalan Parlimen mencari tempat untuk duduk.

Simbolik patah rotan di Taman Jaya

5.20pm: Taman Jaya: Perhimpunan balas bagi membantah pindaan Akta 355 berakhir dengan orang ramai bergambar dengan mereka yang berucap.

Buluh rotan diagihkan kepada kira-kira 200 orang yang berkumpul dalam sesi bergambar itu.

"Ini adalah simbol penindasan," kata Asrul, salah seorang penganjur kepada orang ramai.
Beliau mengetuai orang ramai menyanyikan lagu "Tolak Bil Hadi".

Dalam kiraan tiga, beliau mengarahkan orang ramai mematahkan rotan mereka. Namun, seorang wanita tua tidak dapat melakukannya.

"Ia tak patah," keluhnya.

"Saya akan hantar ini kepada Hadi," tambahnya lagi.

Pesakit parkinson turut hadir

5.15pm: Jalan Parlimen- Walaupun mengidap pelbagai penyakit antaranya parkinson, namun ia tidak mematahkan semangat Yusuf Ali, 80, untuk hadir Himpunan Akta 355.

Dengan berkerusi roda dan ditemani anaknya, Yusuf dari Sungai Besar, Selangor berkata beliau hadir untuk memberi sokongan terhadap himpunan itu dan juga PAS.

Dengan nada sebak, Yusuf memberitahu bahawa beliau menjadi antara individu terawal yang membuka cawangan PAS di Sungai Besar.
"Saya datang sebab parti. Saya masih ingat lagi saya seorang sahaja yang sambut Hadi masa dia datang ke tempat saya," katanya sambil mengesat air matanya.

Menurut anak lelaki Yusuf, Azharuddin, bapanya itu bersungguh-sungguh untuk datang ke himpunan berkenaan walaupun telah dinasihatkan bahawa tempat himpunan itu mungkin tidak sesuai dengan keadaan bapanya.

"Bapa saya yang nak datang. Mak saya pun ada tapi dia dah tak larat. Mereka yang nak sangat datang walaupun kita dah beritahu suasana sini mungkin tak sesuai," katanya.

Yusuf berkata beliau akan berada di himpunan tersebut sehingga malam jika kesihatan mengizinkan.

Berhenti solat Asar

5.00pm: Padang Merbok- Peserta himpunan Akta 355 berhenti seketika untuk menunaikan solat Asar. Solat berjemaah itu diimamkan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ahmad Dasuki Durrani.

4.50pm: Taman Jaya- Aktivis dan peguam Siti Kasim menerima sambutan paling mesra daripada orang ramai yang hadir. Mereka yang hadir turut memberikan sorokan sepanjang ucapan beliau.
Siti menggesa lebih ramai orang Melayu untuk bercakap menentang pindaan Akta 355 yang dicadangkan PAS.

"Kita perlu lebih ramai orang Melayu untuk datang dan berkata 'tidak, anda tidak akan bercakap bagi pihak saya dan bukan dengan nama saya," kata beliau.

Katanya, orang bukan Islam juga perlu bersuara kerana ia adalah isu Malaysia.

"Jika anda warganegara Malaysia, anda perlu melibatkan diri kerana ini adalah negara kita, bukan negara Hadi," kata beliau.

'Moga sejuk di Padang Masyar'

4.40pm: Padang Merbok: Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh meminta hadirin agar bersabar dengan cuaca panas ketika himpunan itu.

Kata Nuridah, keadaan bersesak ini akan jadi bukti di hadapan Allah bahawa mereka telah berusaha sedaya upaya menegakkan syiar Islam.

"Kepanasan ini mudah-mudahan akan menghasilkan kedinginan, kesejukan dan kesejahteraan apabila kita dibangkitkan di Padang Masyar nanti," kata Nuridah disambut laungan takbir.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka tiba di Padang Merbok jam 9.00 malam ini.

4.30pm: Padang Merbok- Ribuan ramai masih lagi membanjiri Padang Merbok dan sepanjang jalan di Jalan Parlimen.

Seorang lelaki sanggup memandu dari Kuala Terengganu bersama keluarganya dan anak yang berusia empat bulan semata-mata untuk memberi sokongan kepada Himpunan Akta 355.
Mohamad Khairul Azmi berkata, beliau turut tidak kisah membawa anak kecilnya ke program berkenaan kerana ingin menjadikan anaknya sebagai pejuang Islam.

"Memang la susah sikit bawa anak kecil tapi tak apa, bakal pejuang Islam ni," katanya.

"Ini politik, bukan tentang Islam'

4.20pm: Taman Jaya- Pindaan yang dicadangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan mengenai Islam, kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

"Ia adalah mengenai politik ... ia tidak ada kaitan dengan agama," katanya kepada orang ramai yang kini berjumlah 200 orang.

Beliau mempersoalkan jika ia adalah berkaitan agama, mengapa Majlis Raja-Raja tidak dimaklumkan sebelum ini.

"Hadi tidak pergi kepada Majlis Raja-Raja. Sebaliknya beliau pergi berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak," katanya.

Zaid menjelaskan bahawa apa yang beliau perkatakan 'bukan pendirian parti barunya, DAP'.

4.15pm: Lebih 25,000 orang berkumpul di Padang Merbok ketika ini.
Lautan ungu dilihat memenuhi padang, dengan ramai peserta berkumpul di luar padang dan juga di atas bukit di seberang jalan.

Antara mereka, anggota Pemuda PAS Mohd Awis Tambran, yang berada di sini dengan ibu bapanya yang juga ahli PAS.

"Saya harap ahli parlimen akan mengambil perhatian terhadap perhimpunan hari ini, dan mendengar suara rakyat," kata Awis.

Janji Andy Yong

3.50pm: Ketika Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berucap, orang ramai mula mempersoalkan penglibatan BN dalam pindaan yang dicadangkan.

Beberapa soalan ditanya mengenai apa yang beliau akan lakukan jika Gerakan menyokong rang undang-undang itu, manakala yang lain menggesa Yong berhenti.
"Saya kagum anda datang," jerit seorang wanita.

Yong cuba menenangkan orang ramai dengan mengatakan telah mendesak Gerakan untuk menentang rang undang-undang itu sejak hari pertama.

"Jika mana-mana MP Gerakan mengundi untuk rang undang-undang itu, saya akan letak jawatan," Yong berkata.

Syed Hamid Albar turut hadir

3.40pm - Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob dan Tan Sri Syed Hamid Albar tiba di Padang Merbok sambil disambut laungan "Allahuakbar".

3:30pm: Mereka yang hadir dalam himpunan balas terhadap himpunan RUU355 di Taman Jaya, memulakan himpunan dengan menyanyikan lagu Negaraku. Orang ramai bertambah kepada kira-kira 120 orang.
Aktivis Azrul Mohd Khalib meminta orang ramai memberi tepukan gemuruh terhadap peserta perhimpunan di Padang Merbok kerana menunaikan hak kebebasan bersuara mereka.

"Seperti yang kita suarakan hak-hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan, begitu juga mereka.

"Mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian, walaupun kita tidak ada kumpulan nasyid seperti mereka," katanya.

Sekumpulan Sikh di Sogo

3.00pm: Di Padang Merbok jumlah orang ramai terus bertambah, menjadikan sukar untuk berjalan di atas padang.

Kira-kira 9,000 orang dianggarkan berada di Padang Merbok sekarang.

Pengacara majlis berkata bahawa di kalangan VIP yang hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD)Tan Sri Syed Hamid Albar.

Sekumpulan Sikh juga dilaporkan berkumpul di Sogo dan dijangka akan menyertai perhimpunan tersebut.

3.00pm: Lebih daripada 7,000 orang berkumpul Padang Merbok, duduk di atas padang dan kawasan di sekitarnya.

Pusingan pertama ucapan oleh pimpinan bermula.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS, 'Dr Balachandran G Krishnan berkata antara mereka yang takut dengan pindaan itu adalah pengendali pusat judi.

"Mereka takut mereka akan hilang keuntungan, dan hilang pelanggan mereka yang beragama Islam," katanya.

Beliau memetik al- Quran yang mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama.

Beliau menambah, pindaan kepada Akta355 tidak akan memberi kesan kepada bukan Islam, dan semua kaum akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan undang-undang Islam.

3:00Pm: Di Taman Jaya, orang ramai mula berkumpul di "Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi".

Kira-kira 60 orang berlegar-legar di sekitar taman di hadapan tasik bagi menyertai himpunan balas terhadap Himpunan RUU355 anjuran PAS.

Ada yang membawa plakad mereka sendiri bagi membantah rancangan pindaan Akta 355, manakala penganjur menyerahkan plakad kepada mereka yang datang dengan tangan kosong.

Orang ramai mengambil gambar bersama-sama dengan plakad mereka sementara menunggu perhimpunan dimulakan.

Laungan Allahuakbar

2.35pm: Masjid Jamek- Ratusan peserta perhimpunan kini menuju ke Padang Merbok.Mereka berjalan di kaki lima di Jalan Perak sebelum melalui Jalan Parlimen untuk sampai ke Padang Merbok.

Setiap beberapa minit, laungan "Allahuakbar" kedengaran.

Sulaiman Horujin, 68, mengakui bahawa beliau tidak tahu banyak mengenai pindaan Akta 355 tetapi datang untuk memberi sokongan kepada perhimpunan tersebut.

2.35pm: Masjid Jamek- Ratusan orang ramai kini berjalan menuju ke Padang Merbok.

Mereka berjalan melalui jalan kaki lima di sepanjang Jalan Perak dan kemudian melalui Jalan Parlimen sebelum tiba ke Padang Merbok.

Sesekali kedengaran laungan takbir "Allahuakbar" oleh peserta yang berjalan ke Padang Merbok.

Sulaiman Horujin, 68, ketika ditemui Malaysiakini memberitahu, walaupun beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai pindaan rang undang-undang Akta 355 namun kehadirannya adalah untuk menyokong himpunan berkenaan.

"Saya tak tahu sangat. Saya tahu itu undang-undang Islam nak cegah maksiat dan nak martabatkan Islam," katanya yang datang dari Perak kepada Malaysiakini.

2.20pm: Jalan Lembah - Kira-kira 50 ahli Pekida Kelantan yang berpakaian hitam, memecahkan kesunyian perarakan dari Masjid Negara ke Padang Merbok dengan teriakan "Allahuakbar".

"Kami di sini untuk menyokong (pindaan) Akta355," kata salah seorang daripada mereka, Rahim Jaafar kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun kebanyakan mereka yang berpakaian ungu terus berarak tanpa melaungkan kalimah itu.

Dari Masjid Negara ke Padang Merbok

2.10pm: Peserta perhimpunan keluar dari Masjid Negara untuk menuju ke Padang Merbok. Meskipun perhimpunan itu melibatkan anggota-anggota PAS, tiada laungan 'Allahuakbar'.

Mereka juga tidak berarak sebagai satu kumpulan besar.

Seorang anggota keselamatan Unit Amal, Iskandar Ghani memberitahu Malaysiakini bahawa peserta telah dimaklumkan agar tidak berarak atau berhimpun di masjid.

"Kita berhimpun di padang Merbok. Kalau berarak ni ada provokasi, jadi kita jalan je," katanya.

1:45pm: Lebih 1,000 penyokong berpakaian ungu memenuhi Masjid Negara untuk menunaikan solat Zohor.
Salah seorang peserta, Zamri Engku Man dari Kemasik Terengganu memberitahu Malaysiakinibeliau datang ke Kuala Lumpur menaiki bas malam semalam dan tiba pagi ini.

"Ada 14 bas, satu bas muat 44 orang," kata anggota PAS itu.

Beliau menjangka perhimpunan hari ini akan berjaya.

Mula berkumpul di Masjid Jamek

1.30pm: Masjid Jamek- Seramai kira-kira 200 orang berpakaian baju berwarna ungu mula membanjiri kawasan LRT Masjid Jamek.

Manakala ratusan yang lain pula berada di Masjid Jamek untuk menunaikan solat Zohor.

Malah, kelihatan juga kira-kira 30 orang pelajar dalam lingkungan antara umur 9 hingga 17 tahun yang turut hadir bagi memeriahkan himpunan ini.

Ketika ditemui Malaysiakini, salah seorang pelajar itu memberitahu bahawa mereka daripada sekolah tahfiz di Kuantan.

"Baru sampai tadi dari Kuantan. Kami dari Maahad Tahfiz," kata pelajar berkenaan yang enggan namanya disiarkan.

1.22pm: Lebih 500 peserta sudah berada di Padang Merbok menunggu bermulanya perhimpunan tersebut.

Hadi menjangkakan 200,000 hadir hari ini.

12pm: Rang undang-undang ahli persendirian Presiden PAS untuk meminda Akta 355 telah mengundang kontroversi.

Pindaan ini akan membolehkan PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Ini kerana versi pertama RUU Hadi mahu mencadangkan untuk meminda had hukuman bagi kesalahan syariah.

Ketidaksetujuan mengenainya membawa kepada perpecahan pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, dengan PAS kini berseteru dengan DAP.

Rang undang-undang Hadi itu kini bertujuan untuk meningkatkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Had hukuman sekarang ialah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Pindaan ini dijangka akan dibahaskan pada sesi Parlimen yang akan datang, dengan kerajaan membawanya ke peringkat bacaan kedua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-