Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, February 6, 2017

Kempen Jamilah sama seperti PRK Kuala Kangsar

DOHA: Kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu akan dijalankan sama seperti PRK Parlimen Kuala Kangsar sebagai menghormati tempoh idah Puan Sri Jamilah Anu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jamilah akan menggunakan bahan multimedia untuk kumpulan pengundi yang berbeza.

“Beliau tidak akan pergi ke kawasan tumpuan untuk berkempen sebaliknya menggunakan pendekatan tanpa lisan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, BN telah mendapat nasihat daripada ulama termasuk mufti tentang tempoh idah Jamilah dan kehadiran beliau dalam kempen PRK itu.

Namun katanya, jentera PRK BN akan bergerak seperti biasa bagi menarik sokongan pe­ngundi.

Beliau berkata, pemilihan balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu dibuat berdasarkan keputusan kepemimpinan di peringkat negeri dan pusat yang melihat Jamilah meme­nuhi kriteria calon boleh menang.

Semalam Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mencalonkan Datin Mastura Mohd. Yazid untuk bertanding dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar selepas kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad pada 5 Jun tahun lalu dan terbaharu, Jamilah, 62, bagi PRK DUN Tanjong Datu, 18 Februari ini dibuat berdasarkan kelayakan me­reka.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, walaupun BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri hingga pencabar Adenan hilang deposit, mereka tidak akan memandang rendah dua calon yang menentang Jamilah.

Beliau menyeru pengundi di Tanjong Datu untuk menyokong Jamilah bagi mene­ruskan kesinambungan pembangunan Sarawak yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Saya juga tidak mahu ada kempen negatif sehingga memberi persepsi buruk terhadap negara,” ujarnya.

- Utusan Malaysia