Thursday, February 16, 2017

"Kita kenal siapa Mahathir" - Pas tidak terjejas jika dipinggirkan

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar membuang jauh sikap sombong kerana parti tersebut tidak akan terjejas dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu yang mengetepikan mereka semata-mata mahu bekerjasama dengan DAP.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya yakin blok politik ketiga yang dibentuk mereka bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mampu memberi saingan kepada parti-parti politik sedia ada.

Beliau menegaskan, Dr. Mahathir tidak boleh memaksa Pas untuk menjalin kerjasama politik dengan DAP dan PAN kerana parti itu tidak akan sewenang-wenangnya menerima kedua-dua parti terbabit.

“Pada saya, tidak menjejaskan apa yang Dr. Mahathir sebut sebab kita kenal siapa dia. Kita kekal meletakkan syarat mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan­ Pas tidak boleh mengheret kita untuk bekerjasama dengan DAP dan PAN yang merupakan seteru politik kita.

“Saya rasa sudah cukup kami mempunyai sejarah politik dengan DAP dalam barisan alternatif dan pakatan rakyat dahulu dan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bersama Pas, mereka tidak boleh minta kita duduk sekali dengan DAP dan PAN,” katanya da­lam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menyatakan, PPBM tidak akan sesekali mengetepikan DAP semata-mata untuk bekerjasama dengan Pas.

Menurut Pengerusi PPBM itu, keperluan DAP dalam pakatan pembangkang adalah sama seperti Barisan Nasional (BN) dan UMNO memerlukan MCA.

Sementara itu, Nasrudin turut mengingatkan Dr. Mahathir agar tidak lupa kepada sikap Pas terhadap UMNO semasa kepimpinannya sebagai Perdana Menteri.

“Pas telah melawan UMNO sejak Dr. Mahathir dalam UMNO lagi 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, kita lawan. Beliau baru keluar beberapa hari daripada UMNO, sudah mendakwa Pas bersekongkol dengan UMNO. Jadi, pepatah Melayu mudah lupa ini sebenarnya berbalik semula kepada beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Nasrudin memberitahu, terdapat beberapa parti politik dijangka bekerjasama dalam blok politik ketiga dengan Pas dan Ikatan.

“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan akan ada pihak lain bakal bersama kita menjelang pilihan raya umum nanti,” jelasnya.

Mengenai kedudukan Pas dalam Kerajaan PKR Selangor, Nasrudin menjelaskan, Muktamar Tahunan Pas pada tahun ini akan menilai semula kedudukan mereka di negeri berkenaan.

“Hingga hari ini, kita masih ada hubungan tahaluf siyasi dalam kerajaan PKR Selangor dan kita akan lihat kepada keputusan muktamar nanti mengenai kedudukan Pas dalam pentadbiran negeri itu,” jelasnya.

- Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-