Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, March 1, 2017

Penyatuan Bangsa Melayu perlu dipertahankan - Pemenang

Tan Sri Mohd Yussof Latiff
GEORGE TOWN, 28 Feb (Bernama) -- Penyatuan bangsa Melayu perlu dikekalkan dan dipertahankan demi generasi Melayu masa depan, kata Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Mengambil semangat daripada Kongres Pertama Kebangkitan Bangsa Melayu yang dipelopori Datuk Onn Jaafar hingga membawa kepada penubuhan UMNO, beliau berkata setiap orang Melayu harus menghormati dan menghargai jasa parti itu.

"Kami berasa amat sedih dan kesal kerana kebelakangan ini, parti keramat bangsa Melayu itu terancam akibat karenah sebahagian daripada pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat.

"UMNO tidak berdosa maka tidaklah wajar UMNO dikecam begitu hebat akibat daripada kerenah segelintir pemimpinnya," katanya pada sidang berita di sempena ulang tahun yang ke-71 Kongres Pertama Kebangkitan Bangsa Melayu di sini, hari ini.

Kongres itu, yang diadakan dari 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur, disertai wakil-wakil daripada 41 pertubuhan Melayu bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Mohd Yussof berkata orang Melayu juga perlu mengambil iktibar daripada peristiwa UMNO diharamkan pada 1988 akibat keghairahan pemimpin-pemimpin parti ketika itu yang mahu mempertahankan kuasa politik.

Beliau berkata peristiwa itu merupakan titik hitam kepada UMNO dan mengakibatkan perpecahan ketara dalam kalangan orang Melayu.

"Oleh itu, sempena sambutan ulang tahun Kongres yang memperkasa penyatuan Melayu menerusi UMNO, marilah kita bersama-sama bersatu hati untuk menghidupkan semula obor perpaduan demi generasi Melayu masa depan dan mempertahankan kesucian Islam dan Kedaulatan Raja-raja Melayu di negara ini," katanya.

-- BERNAMA