Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, February 24, 2017

PH dalam diam bahagi kerusi di Selangor tanpa Pas?

By Muhammad Azizul Osman
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dilaporkan telah mengadakan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor secara tertutup tanpa penglibatan Pas.

Laporan portal BNBBC yang memetik sumber mendakwa PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) telah mempersetujui pembahagian kesemua kerusi di Selangor.

Malah perbincangan itu turut memberikan beberapa kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Pembahagian tersebut telah dipersetujui bersama PKR, DAP, PAN dan PPBM dengan jumlah kerusi yang telah ditetapkan untuk parti masing-masing.

“Namun perkara itu diselindungkan daripada Pas berikutan tindakan parti Islam itu yang dilihat masih bermain tarik tali untuk meneruskan kerjasama dengan gabungan parti pembangkang itu,” tulis portal berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, PKR diberikan paling banyak kerusi berjumlah 18 kerusi dan diikuti DAP 15 kerusi, manakala parti pimpinan Mohamad Sabu, PAN menerima 14 kerusi sementara sembilan lagi diberikan kepada PPBM.

Pada PRU13 lalu, Pas menguasai 15 kerusi DUN di negeri berkenaan sebelum kehilangan dua kerusinya kepada PAN.

DAP masih menguasai 15 kerusi DUN sementara PKR 13 kerusi dan satu kerusi Bebas milik bekas Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Barisan Nasional (BN) pula meraih 12 kerusi.

Dijangkakan banyak kawasan di negeri berkenaan akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru terutamanya di kawasan milik Pas yang jelas akan ditandingi parti serpihannya PAN.

BN dijangka mempunyai peluang cerah untuk menawan kembali Selangor ekoran perpecahan pembangkang yang kian meruncing kini berhubung perebutan kerusi untuk ditandingi.