Thursday, March 2, 2017

Ada 'kain yang terlondeh' semasa lawatan Raja Salman ke Malaysia

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Siapa sangka Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah perintah Malaysia selama 22 tahun boleh turut serta dalam gelagat pembangkang memperlekehkan lawatan rasmi pemimpin negara asing apa lagi negara sahabat baik Malaysia yakni Arab Saudi.

Sebagai bekas Perdana Menteri beliau tentu cukup sedia maklum mengenai keperluan kunjung mengunjung antara pemimpin negara khususnya dalam mengeratkan lagi persahabatan dan menarik pelaburan.

Cuba kira berapa ratus kali Dr Mahathir keluar negara dan pemimpin asing datang ke Malaysia sepanjang 22 tahun beliau mengetuai kerajaan.

Tiada siapa yang mempersoalkan urusan rasmi yang menjadi amalan setiap pimpinan negara.

Dr Mahathir seolah tidak dapat mengenepikan permusuhan politiknya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hingga sanggup perlekeh lawatan Raja Salman selama empat hari ke Malaysia.

Pada satu majlis ceramah di Sungai Buloh pada Sabtu malam lalu ,bekas Perdana Menteri itu sekalipun tidak sebut nama sesiapa dipetik sebagai berkata ‘Ada pemimpin negara asing datang ke Malaysia bukan atas dasar persahabatan tetapi kerana sesuatu yang 'diberikan' oleh perdana menteri kepada mereka’.

Beliau juga turut menyindir seolah lawatan-lawatan pemimpin negara asing ke Malaysia adalah bagi ‘ menghalalkan’ salah laku yang dibuat oleh pimpinan negara ini.

Mengambil kira kata-kata itu dibuat menjelang lawatan Raja Arab Saudi itu rasanya semua orang boleh buat andaian kepada siapa ia ditujukan.

Jika itu maksud dihati beliau nampaknya terus dihantui dengan isu derma RM2.6 billion dari keluarga diraja Arab Saudi sekalipun berkali-kali sudah diperjelaskan termasuk oleh Peguam Negara sendiri.

Malah pihak SPRM sendiri menghantar pegawai ke Arab Saudi untuk menemui pihak berkenaan di sana mendapatkan butiran mengenainya.Ia sudah sah didapati tiada salah laku dalam isu itu.

Lojik akal berkata tidak mungkin Raja Arab Saudi yang cukup berpengaruh dan kata raya itu akan jijak kaki ke Malaysia jika ada pembohongan berlaku yang boleh jejas imej nama baik negara itu.

Apa lagi tuduhan itu melibatkan Perdana Menteri Malaysia.

Kata orang boleh fikir sendiri dari segenap sudut memang tidak masuk akal.

Satu dunia melihat bagaimana akrabnya hubungan antara Raja Salman dan Najib sepanjang berada di negara ini.

Bukan itu saja...Malaysia ialah negara pertama yang menjadi destinasi baginda dalam rangka lawatan ke rantau ini.

Juga jangan lupa Raja Arab Saudi itu yang datang dengan rombongan yang besar telah menyifatkan hubungan Arab Saudi-Malaysia berada dalam keadaan yang sangat akrab.

Dr Mahathir dan puak pembangkang tentu merasa cukup gundah gulana melihat kejayaan lawatan empat hari Raja Salman.

Ini boleh bikin rosak program dan agenda mereka.

Detik manis bagi Malaysia sudah tentu melihat perjanjian pelaburan RM30 billion syarikat minyak Arab Saudi Aramco dalam projek Rapid di Pengerang Johor yang dikendali oleh Petronas.

Ia akan memberi impak yang besar pada ekonomi negara.

Pelaburan itu juga mengambarkan keyakinan besar kerajaan Arab Saudi pada Malaysia.

Arab Saudi bukan bodoh dan tidak siasat dan kaji segenap segi dulu.

Tiada siapa yang akan melabur wang sebanyak itu di negara ini jika mereka termakan hasutan seperti yang dibawa pembangkang.

Disamping itu pelbagai memorandum persafahaman kerjasama dalam pelbagai bidang yang melibatkan pelaburan berbillion ringgit diperolehi dari lawatan ini.

Baru-baru ini semasa lawatan ke China,Perdana Menteri telah berjaya membawa masuk berbilion pelaburan dari negara itu.

Kejayaan itu telah diserang dengan pelbagai tomahan kononnya kedaulatan Malaysia akan tergadai kepada China.

Seperti Najib bertanya apakah kini mereka nak tuduh Malaysia jual kedaulatan kepada Arab saudi pula.

Inilah standard pembohongan puak-puak ini untuk memperbodohkan rakyat kerana motif politik.

Tidak tarik pelaburan masuk ke negara dihentam…berjaya bawa masuk pelaburan juga dihentam.

Ada yang kata biarlah puak-puak ini terus menjerit dan menjerit.Itu saja modal yang mereka ada.

Sebaliknya kejayaan demi kejayaan kerajaan lambat laun akan membuat semua orang nampak kain siapa yang semakin terlondeh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-