Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, March 31, 2017

Debat Mahathir - Nazri sah, polis tetapkan syarat

Debat di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sah akan berlangsung pada 7 April ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub .

“Alhamdulillah, surat dari OCPD Shah Alam ( ACP Shafien Mamat) baru saja diterima. Confirm dialog Tun Dr Mahathir vs DS Nazri Aziz 7.4.17 on,” katanya menerusi Twitter.

Penganjur sebelum ini memaklumkan kepada polis pada 27 Mac lalu bahawa majlis itu akan diadakan di Dewan Sultan Muhammad Ke-5, Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Hussamuddin turut dimuat naik surat polis bertarikh 31 Mac di akaun media sosialnya.

Menurut surat itu, polis mengenakan beberapa syarat dan sekatan demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Antaranya, penganjur diminta peserta himpunan tidak bertindak atau mengeluarkan kenyataan menghasut yang boleh menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai atau mengganggu ketenteraman awam.

Karangkraf juga diberitahu untuk memastikan acara itu tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian memetiknya berkata, majlis berkenaan hanya akan dihadiri penonton yang menerima kad jemputan sahaja. Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kedua-dua belah pihak.

“Hanya 300 penonton sahaja akan hadir di mana 100 jemputan daripada pihak Tun Mahathir, 100 daripada pihak Mohamed Nazri dan 100 lagi daripada kami sebagai penganjur.

“Penonton yang dijemput akan dimaklumkan mengenai beberapa peraturan yang harus dipatuhi.

"Parkir juga disediakan di dalam premis kami untuk kemudahan jemputan yang hadir,” katanya.

Hussamuddin berkata, biarpun jumlah penonton terhad, namun sesi itu boleh disaksikan secara langsung menerusi Sinar TV serta rangkaian Sinar Harian yang lain seperti portal dan juga laman sosial di Twitter dan Facebook.

Beliau berkata, Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali akan bertindak sebagai moderator.