Saturday, March 11, 2017

Debat: Nazri tunggu Dr M di Padang Rengas

Tarrence Tan

Malah, Nazri Aziz juga akan membantu memastikan debat itu dapat berjalan dengan lancar.
PETALING JAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz gembira bekas perdana menteri bersetuju untuk berdebat dengannya di Parlimen Padang Rengas, Perak.

“Okay, saya setuju dan bagi saya ini idea yang bagus kerana itulah saya katakan selama ini.

“Jika kamu mahu jatuhkan seseorang, pergi ke tempatnya,” katanya kepada FMT.

Awal hari ini, pembantu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu FMT mereka sedang mengaturkan agar debat terbuka itu dibuat di kawasan Nazri sendiri.

Walaupun tarikh debat belum disahkan, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan turun ke Padang Rengas untuk suatu acara pada 25 Mac.

Nazri nampaknya tidak goyang malah menawarkan bantuan memastikan debat itu dapat berjalan dengan lancar.

“Yakinlah saya akan berada di sana pada 25 nanti kerana saya tiada urusan lain.

“Beritahu saya kalau dia perlukan bantuan untuk menganjurkan debat.”

Perang mulut bermula apabila Nazri mencabar Dr Mahathir bertanding melawannya di Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir pula mencabar Nazri bertanding melawannya di Langkawi. Namun sejak itu, beliau berkata tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Nazri berharap Dr Mahathir menukar fikiran dan bertanding pada pilihan raya nanti.

“Saya harap dia ubah fikiran dan lawan saya di Padang Rengas.

“Cabar seseorang itu di kawasannya jika kamu mahu tewaskan orang itu.

“Begitu juga kalau pembangkang mahu tewaskan Najib – pergi ke Pekan.

“Cabar saya bertanding di Langkawi cuma sembang karut.”

Perkara debat termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kontroversi Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan RM2.6 bilion dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perbualan mengenai skandal BMF hidup kembali selepas Agensi Perisikan Pusat AS mendedahkan dokumen yang mengaitkan pentadbiran Dr Mahathir kepada kerugian AS$1 bilion pada 1980an.

Sementara itu, tahun lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkenaan deposit RM2.6 bilion, dan berkata beliau berpuas hati wang itu merupakan derma peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-