Saturday, March 25, 2017

Dua tahun rakyat terbeban dengan GST

HASLINA KAMALUDIN
24 MAC 2017
SHAH ALAM - Parti Amanah bersama Pakatan Harapan konsisten menolak sekeras-kerasnya cukai yang membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, selepas dua tahun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan, rakyat sangat sengsara dan tertekan dalam menghadapi kehidupan seharian yang 'dijerut' dengan cukai ini.

“Kami menegaskan cukai yang zalim seperti ini tiada tempat dalam pemerintahan kami kelak dengan syarat rakyat memberi mandat sepenuhnya kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara.

“GST menyebabkan segala harga barangan dan perkhidmatan naik mendadak dari semasa ke semasa terutama barangan keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kesengsaraan rakyat ditambah lagi dengan pendapatan per kapita yang tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos kehidupan seharian.

“Secara terang-terangan, seluruh rakyat telah ditipu 'hidup-hidup' oleh menteri yang mendakwa cukai tersebut akan mengurangkan harga barangan perkhidmatan.

“Rakyat terpaksa merelakan diri 'disembelih' oleh cukai ini. GST menyebabkan perbelanjaan isi rumah semakin melambung tinggi, dalam masa yang sama peluang pekerjaan menguncup dengan sangat ketara,” katanya.

Jelasnya, bebanan kewangan telah menyebabkan banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan akhirnya rakyat kehilangan kerja.

“Kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin kleptokrasi, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menikmati manfaat besar daripada cukai ini namun rakyat terpaksa menanggung bebannya.

“Biarpun cukai dikenakan, kerajaan dalam masa sama telah menghapuskan subsidi barangan keperluan asas,” ujarnya.

Mohd Sany mendakwa, hasil kutipan GST yang menggantikan cukai SST telah meningkat kira-kira 42 peratus.

“Pada tahun 2015, kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM27.012 bilion dan dianggarkan kerajaan memperoleh RM38.5 bilion pada tahun 2016.

“Persoalannya, di manakah wang tersebut dibelanjakan? Rakyat 'disogok' dengan bantuan BR1M dan dalam masa sama kerajaan terus merompak rakyat dengan pelbagai cara,” katanya.

Tambahnya, apa yang dihadapi rakyat ini seiring dengan kebimbangan yang disuarakan pembangkang terhadap cukai ini sebelum ia dilaksanakan lagi.

"BN juga dikatakan telah menggunakan kuasa mereka untuk melaksanakan cukai ini biarpun majoriti rakyat sangat bimbang dan menolak cadangan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-