Monday, March 6, 2017

Kerajaan perlu bertindak segera

NINA FARZUIN MD SHAROM
6 MAC 2017
Dr Fadlan
KUALA LUMPUR - Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma) menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap 19 individu yang memfailkan saman mendakwa negara ini melindungi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Presidennya, Dr Fadlan Mohd Othman berkata, semua individu itu boleh didakwa di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Kami mohon agar PDRM ambil tindakan berdasarkan peruntukan tersebut kerana mereka sengaja lakukan perkara menyebabkan ketegangan hidup beragama.

“Tindakan mereka juga hanyalah fitnah tanpa bukti kukuh dan hanya merosakkan hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya pada sidang media Gasma menyokong dan mempertahankan kerajaan Malaysia dan Dr Zakir Naik, semalam.

Baru-baru ini, 19 individu termasuk pengerusi kumpulan Hindraf P Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa ia melindungi Dr Zakir.

Mereka mendakwa pendakwah dari India itu boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Mengulas lanjut, Fadlan berkata, tindakan itu juga satu bentuk penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

“Pada 2013, beliau (Dr Zakir) telah diangkat sebagai tokoh Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong dan sudah tentu tindakan mereka ini juga dilihat sebagai satu penghinaan kepada baginda.

“Adakah mereka ingin katakan Yang di-Pertuan Agong beri penghormatan kepada individu digelar ekstremis,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bukan hanya menyatakan sokongan terhadap Dr Zakir dalam isu ini malah sentiasa bersama memperjuangkan Islam berteraskan prinsip nasihat yang baik dan perdebatan dengan cara diajar Islam.

“Mereka dakwa beliau (Dr Zakir) beri ancaman kepada keselamatan negara kerana penyeru kepada kebencian.

“Hakikatnya, beliau pendakwah bersikap wassatiyah, menyampaikan Islam dan menegakkan tauhid berlandaskan prinsip kesederhanaan. Bahkan, apa yang diajarkan adalah inti pati ajaran Islam yang sebenar berlandaskan Rukun Islam dan Rukun Iman,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-