Sunday, March 12, 2017

Konvensyen Felda Pakatan Harapan agenda hasut rakyat, dakwa Shahrir

Bernama

Shahrir berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak perlu merumitkan keadaan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah yang sedia wujud.
JOHOR BAHRU: Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menyifatkan tindakan Pakatan Harapan menganjurkan Konvensyen Felda pada 19 Mac ini di Shah Alam, Selangor, hanya bermotifkan agenda politik yang ingin menghasut rakyat, khususnya peneroka bagi membenci kerajaan.

Beliau dipetik Bernama berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak perlu merumitkan keadaan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah yang sedia wujud.

“Kalau menghasut dengan merumitkan keadaan, itu tidak akan menaikkan harga getah atau sawit,” kata beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar
2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tebrau di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada berkata, Felda menyuarakan bantahan dan menegaskan bahawa organisasi itu sama sekali tidak terlibat dengan penganjuran ‘Konvensyen Felda” oleh Pakatan Harapan.

Kata beliau, pihaknya juga tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk menggunakan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut.

“Kebelakangan ini terdapat pihak yang berusaha untuk mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat peneroka. Yang terbaru, Pakatan Harapan dijadual mengadakan ‘Konvensyen Felda, Kelangsungan Felda Melalui Pengupayaan dan Pendidikan’ di Shah Alam.

“Penggunaan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut akan mengelirukan peneroka dan masyarakat awam amnya,” kata beliau.

Beliau berkata, Felda memandang berat perkara ini kerana kemungkinan terdapat pembentangan yang tidak tepat dan dikhuatiri akan mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di rancangan-rancangan Felda.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1956, Felda tidak pernah lari daripada objektif utamanya bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka di 317 rancangan di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-