Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, March 14, 2017

Melayu ketinggalan jika berpecah - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu orang Melayu berpecah-belah disebabkan politik kerana jika itu berlaku, bangsa tersebut akan ketinggalan berbanding kaum lain.

Baginda bertitah, dalam mencari dan membentuk kesepaduan dalam kalangan orang Melayu, masjid dan surau perlu berfungsi dengan sempurna, bukan sekadar tempat beribadat tetapi juga dijadikan platform menyatupadukan rakyat.

Titah Sultan Sharafuddin, dalam konteks itu, di Selangor sahaja terdapat 414 masjid dan 2,059 surau berdaftar serta 42,200 pegawai dan ahli jawatankuasa yang boleh memainkan peranan penting dalam penyatupaduan orang Melayu.

“Pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan surau mesti menjalankan tugas dengan amanah. Jangan berpuak-puak hingga masjid atau surau menjadi tempat menumbangkan antara satu sama lain,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam program Multaqa Pegawai Masjid dan Surau, Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Guru Takmir peringkat negeri di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Pengarah Jabatan Aagama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Dalam majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan watikah kepada pegawai dan ahli jawatankuasa surau bagi sesi 2017-2019 serta nazir, imam, guru KAFA dan guru takmir.

Baginda bertitah, guru-guru KAFA adalah golongan pendidik yang cukup penting dalam masyarakat dan disebabkan itu, mereka mesti menyampaikan ilmu dengan sebaik mungkin.

“Guru KAFA mestilah menekankan pembelajaran dan memahami serta mengikuti pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah secara berhemah dan tidak terpesong daripada akidah,” titah baginda.

- Utusan Malaysia