Tuesday, March 28, 2017

Pas hanya 'budak nakal' dalam BN

SITI FATIHAH AWANG
27 MAC 2017
KOTA BHARU - Pas hanya akan menjadi ‘budak nakal’ yang dilihat mudah merajuk dan sukar dipujuk bila berada dalam BN, kata Setiausaha BN Negeri, Senator Datuk Hanafi Mamat.

Menurutnya, isu biawak hidup yang dibawa Pas itu bukan perkara baharu malah sebelum ini banyak pihak berpendapat mengatakan BN sebenarnya menyokong biawak hidup jika Pas berada bersama dengan parti pemerintah itu.

“BN tidak pernah menagih simpati Pas untuk bentuk pakatan politik bagi memimpin negara. Kita hanya mempelawa Pas bekerjasama atas dasar-dasar dan isu-isu agama, bangsa, pembangunan, kebajikan dan malapetaka.

“Contohnya, kita sokong RUU355, bantu rakyat miskin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bayar gaji tok imam, membina dan baik pulih surau dan masjid. Bantu mangsa banjir. Memberi peruntukan bayar gaji kakitangan kerajaan negeri yang tidak mencukupi dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengumpamakan tindakan menyertai BN sebagai memikul biawak hidup kerana parti itu sedang dibebani dengan pelbagai masalah dan penyakit.

Malah Abdul Hadi juga berkata, walaupun sebahagian daripada pemimpin BN yang bermasalah telah menyertai Pakatan Harapan, namun ada ‘biawak yang lebih besar’ dalam gabungan itu dan penyakitnya yang dialami juga lebih parah.

Hanafi berkata, Pas kini boleh diibaratkan sebagai seorang yang berbadan kuat, tetapi sebenarnya bila-bila masa sahaja boleh ‘goyah’ dengan kebesaran yang dimiliki itu, namun masih lagi lantang menentang kiri dan kanan.

Beliau berkata, kekuatan yang ada pada parti Amanah tidak boleh sesekali dipertikaikan dan diambil remeh, namun mungkin perkara tersebut tidak disedari secara jelas oleh Pas.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting, BN punyai kekuatan tersendiri dan mampu bersendirian. Tetapi pintu kerjasama sentiasa terbuka. Kita tidak tutup dan tidak membakar jambatan,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-