Tuesday, March 21, 2017

Pas mahu tawan Selangor

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
21 MAC 2017
Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
KOTA BHARU - Selangor adalah antara lima negeri yang menjadi sasaran Pas pada PRU14.

Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, walaupun matlamat besar parti untuk menawan seluruh negara, Pas perlu meletakkan sasaran yang realistik berdasarkan kemampuan parti termasuk jentera yang ada.

“Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran. Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.

“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut hasrat Pas memimpin Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala yang lain terserah kepada Umno.

Nik Abduh berkata, sekiranya trend keputusan itu sama seperti PRU13, pintu rundingan dengan mana-mana pihak masih boleh dibuka.

Nik Abduh menafikan sasaran yang dibuat hasil pakatan dengan Ummo, sebaliknya dilakukan berdasarkan kemampuan Pas.

“Ini sasaran kita bersama yang dibuat Pas Pusat, (dipersetujui) di semua peringkat. Kita mahu lebih banyak kerusi.

“Yang Tok Guru (Abdul Hadi) sebut negeri Umno dah perintah, makna kekal, bukan bermakna ada satu pakatan, sekiranya Pakatan Harapan nak, dia kena usaha sendiri,” katanya.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, Nik Abduh berkata, sering kali pihak berkenaan menyatakan mahu menawan Kelantan dengan meletakkan calon di kawasan Pas bertanding.

“Sebelah sana sering cakap nak kalahkan Pas di Kelantan, akan bertanding di semua kawasan Pas tanding. Bila sebelah sini (Pas) cakap nak tawan dan tambah empat atau lima negeri lagi dan bakinya BN kekal perintah, sebelah sana mula meroyan kata Pas kerjasama dengan Umno,” katanya.

Nik Abduh menyarankan parti berkenaan berusaha sendiri jika mahu memerintah negeri berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-