Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, March 25, 2017

Pas nak bersendiri hanyalah 'lawak petang', kata aktivis veteran

Adam Abu Bakar
March 25, 2017

Gelombang ke-3 yang didakwa mahu ditubuhkan PAS pada PRU depan sebenarnya tidak wujud, kata Hishamuddin Rais.
KUALA LUMPUR: Seorang aktivis veteran menganggap keyakinan PAS untuk berjuang bersendirian tanpa kerjasama dengan parti pembangkang lain adalah sesuatu yang tidak bertempat di sebalik realiti politik Malaysia.

“Keadaan di Malaysia tidak membenarkan untuk bersendiri, kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk. Jika PAS kata hendak bersendiri, ia hanyalah lawak petang,” kata Hishamuddin Rais kepada FMT, di sebalik pelbagai desakan supaya PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Hubungan PAS dengan PKR satu-satunya kerjasama politik yang masih berterusan selepas melibatkan parti Islam itu, selepas Pakatan Rakyat terkubur susulan permusuhan PAS-DAP.

PAS bakal bersidang bulan depan, dalam muktamar yang bakal menentukan hala tuju politik PAS yang masih samar menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan pada 2018.

Muktamar kali ini merupakan kali PAS berhimpun 2 tahun selepas tokoh “progresif” disingkirkan golongan “konservatif” di bawah pimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam pemilihan pucuk pimpinan.

Umno atau…

Menurut Hishamuddin, muktamar PAS yang akan datang kini berdepan satu lagi gelombang perubahan – sama ada mahu memilih Umno sebagai rakan baharu.

Katanya, walaupun PAS kini hampir kesemuanya diterajui kelompok “konservatif” pro-Hadi dan pemimpin Dewan Ulama lain, garis perbezaan masih wujud.

Ini, kata Hishamuddin, dapat dilihat apabila anak bekas mursyidul am PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, tewas terus dalam pemilihan PAS Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Nik Abduh hanya meraih 37 undi melawan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin yang menerima 209 undi bagi mempertahankan jawatan timbalan yang dipertua PAS kawasan itu.

Nik Abduh, yang juga ketua Pemuda PAS, merupakan antara suara utama dalam parti itu yang mengkritik kerjasama dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang kini ranap dan digantikan oleh Pakatan Harapan yang tidak disertai PAS.

Sumber dalaman parti memberitahu FMT, kekalahan Nik Abduh, tokoh yang berpengaruh dan rapat dengan pemimpin tertinggi parti, adalah bukti suara akar umbi PAS menolak pemimpin yang dilihat mesra Umno.

“Kalau kita lihat, garis politik yang wujud dalam PAS sekarang ialah sama ada mahu bersubahat dengan Umno atau berterusan menjalankan dasar ‘amar makruf nahi mungkar’,” kata Hishamuddin kepada FMT.

Muktamar kali ini akan diikuti rapat untuk melihat sama ada perwakilan PAS kali ini mahu bersama Pakatan Harapan (PH), meneruskan hubungan dengan PKR, atau berjuang bersendirian pada pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi dari maknanya, sudah tentu PAS menyatakan parti itu tidak mahu bersama PH,” kata Hishamuddin merujuk gabungan antara PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Amanah.

“Tetapi, menolak PH, itu ertinya bersama Umno, itu makna tersiratnya,” katanya.

Hishamuddin menjangkakan antara isu yang bakal dibangkitkan PAS pada muktamar yang akan diadakan di Kedah bulan depan ialah peranan “gelombang ketiga” yang diwujudkan parti Islam itu dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, sebuah parti kecil diketuai bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, yang menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah “Gagasan Sejahtera”.

“Gelombang ketiga itu tidak wujud. Adakah dengan adanya Ikatan itu mewujudkan suatu gelombang? Hakikatnya tidak,” katanya.