Sunday, March 19, 2017

Pas Permatang Pauh pula putus hubungan dengan PKR

 MALAYSIA DATELINE
Omar Hassan
Pas Kawasan Permatang Pauh hari ini sebulat suara membatalkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR melalui usul dalam mesyuarat agung tahunan kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata usul itu dibuat kerana PKR khasnya di Pulau Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menyerang Pas dan pimpinan parti Islam itu.

Beliau juga mendakwa PKR dengan sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik mereka tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu.
"Lebih memudaratkan, terdapat aduan daripada ahli Pas bahawa PKR meminta ahli Pas berkenaan keluar daripada Pas dan sertai PKR bagi tujuan memegang jawatan tertentu di dalam kerajaan.

"Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan Pas," katanya dalam usul tersebut.

Menurut beliau lagi, PKR gagal membela dan mempertahankan Islam di Pulau Pinang apabila secara terang-terangan menurut kehendak DAP dengan mencampuri urusan pemfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri itu.

"Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan dan ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Tindakan tidak bertanggungjawab exco agama ini menunjukkan kepentingan politik PKR lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam. Pas tidak boleh bersetuju dengan keadaan ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-