Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, March 23, 2017

Pemuda Pas Pandan akan bawa usul putus hubungan dengan PKR

MALAYSIA DATELINE
23 Mac 2017
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali : Timbalan Presiden PKR 

Datuk Seri Mohd Azmin Ali berterusan dikecam oleh Dewan Pemuda Pas kerana mengeluarkan kenyataan sinis terhadap Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Nik Muhammad Abduh Nik Aziz.

Justeru Dewan Pemuda Pas Kawasan Pandan juga akan membawa usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan itu sebagaimana yang akan diusulkan oleh Pemuda Pas Kawasan Subang.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Pandan Mohamed Shukri Omar mendakwa, lebel 'lebai' terus dimainkan oleh pimpinan PKR itu bagi memburukan PAS.

"Lebel 'lebai' terus dimainkan pimpinan PKR bagi memburukan PAS disebabkan pendirian kami yang konsisten dalam usaha mempertahankan Islam dan Rakyat.

" Biarpun kami sinonim dengan 'Parti Lebai', demi Allah kami cukup berbangga. Ini kerana di dalam 'Parti Lebai' inilah kami berjaya mengumpulkan Profesional dan Agamawan yang didalam dada mereka sarat dengan cita-cita menegakkan Islam," ujarnya dalam kenyataan.

Azmin semalam mengeluarkan kenyataan yang dianggap biadab oleh Pas sekaligus mengambarkan menteri besar itu tidak lagi mengamalkan semangat setiakawan.

"Dengan kenyataan biadab Datuk Seri Azmin di Twitter sudah cukup mengambarkan tiada lagi setiakawan yang bakal mengundang 'Sedia Lawan'.

"Semakin pimpinan kami berusaha mencari titik persefahaman persepakatan, semakin lantang pimpinan PKR mencari jalan bertentang.

"Pimpinan kami sudah lama berlapang dada dan berbesar hati membuka ruang dan peluang kepada mana-mana parti politik untuk bertahaluf siyasi dan bersama menentang rejim zalim Barisan Nasional.

" Kami bersedia menghadapi PKR sekiranya keputusan Majlis Syura Ulamak PAS dan PAS Pusat untuk memutuskan kerjasama dengan PKR.

"Kami berharap Datuk Seri Azmin celik mengenali diantara lawan dan kawan. DPPKP berterima kasih serta menghargai segelintir Pimpinan PKR yang masih menghormati setiakawan bersama PAS.

"Moga fokus menjatuhkan BN terus dijayakan," ujarnya.

Semalam turut mengecam kenyataan Azmin antaranya Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Subang Hanafi Zulkapli.

Azmin dilapor menyindir seorang "tok lebai misteri" tanpa menamakan secara langsung individu disebutkan itu kononnya bercita-cita untuk menawan Selangor.

"Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur," ujar Azmin seperti dipetik.