Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, March 11, 2017

Penyakit ILI: 47 pelajar SMART Teluk Intan diasingkan

Bernama
March 11, 2017

Tahap kesihatan mereka adalah stabil dan kini dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penyakit terbabit menular kepada pelajar lain.
TELUK INTAN: Seramai 47 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), Jalan Changkat Jong di sini, diasingkan di sebuah bilik asrama selepas dikesan menghidap gejala penyakit seperti influenza (ILI).

ILI di sekolah itu dikesan sejak Rabu lepas melibatkan 28 pelajar lelaki dan 19 perempuan daripada 428 pelajar apabila mereka menunjukkan simptom ILI seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak.

Perkara itu mendapat perhatian Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang membuat lawatan ke sekolah itu untuk mengetahui perkembangan keadaan kesemua mangsa tersebut, hari ini.

“Tahap kesihatan mereka adalah stabil dan kini dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penyakit terbabit menular kepada pelajar lain.

“Malah sampel air liur daripada beberapa pelajar asrama telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buluh (Selangor) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dipetik Bernama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata pengurusan sekolah telah mengambil langkah pencegahan dan pengawalan termasuk membekalkan topeng muka kepada pelajar.

Sehubungan itu juga, beliau turut meminta Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak untuk meningkatkan pengawasan terhadap tahap kesihatan pelajar bagi mengesan simptom awal jangkitan influenza dalam kalangan mereka.

Semalam, Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon mengumumkan seramai 216 pelajar di tiga sekolah di Ipoh dikesan menghidap gejala penyakit ILI.

Daripada jumlah itu, seramai 129 pelajar adalah dari Sekolah Raja Perempuan Taayah; 84 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan selebihnya murid dari Sekolah Kebangsaan Klebang.