Friday, March 24, 2017

Semua Ahli Pakatan Harapan ikut perintah DAP, termasuk Mahathir

by admin-s
“Bagi saya, DAP tidak kisah jika barisan kepimpinannya tidak menjadi Perdana Menteri, namun apa yang penting mereka mahukan seorang pemimpin di kalangan parti pembangkang yang boleh mereka kawal dan akur dengan setiap keputusan yang diputuskan oleh DAP”.

(Malaysian Digest) – Ekoran memiliki bilangan majoriti didalam ikatan Pakatan Harapan, DAP didakwa menjadi pembuat keputusan yang wajib dituruti setiap ahli pakatan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) teraju Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, perkara ini terang lagi bersuluh sepertimana akurnya ahli Pakatan Harapan mengikut telunjuk DAP berhubung hal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355.

“Kita boleh nampak jelas bahawa parti seperti PKR adalah pro kepada DAP di mana keputusan yang mereka ambil itu akan selaras dengan kehendak DAP, sebagai contoh dalam isu pindaan RUU 355 baru-baru ini.

“Manakala parti PAN pula tidak perlu diragui kesetiaan mereka terhadap DAP memandangkan kewujudan parti tersebut juga adalah hasil kehendak DAP untuk memecah belahkan dan menggantikan PAS di dalam pakatan pembangkang,” katanya dipetik portal berita.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah parti baru, PPBM kata Jasmin, “terpaksa sujud di kaki DAP” demi mendapatkan sokongan pihak pembangkang.

“Pengerusinya, Tun Mahathir sanggup mengeluarkan kenyataan pusingan-U di mana kononnya selama ini dia tersalah anggap terhadap DAP yang disangkakan sebagai sebuah parti rasis.

“Selama lebih 22 tahun beliau menghentam DAP sebuah parti yang rasis dan cauvinis, tetapi hari ini beliau boleh pula katakan bahawa kritikan beliau terhadap DAP adalah tidak benar dan beliau telah tersalah anggap terhadap DAP selama 22 tahun,” tegasnya.

Jelasnya, keegoan dan keangkuhan DAP dalam membuat keputusan juga menjadi punca PAS meninggalkan Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.

Tambahnya, PAS tidak sanggup untuk bersama sebuah ikatan yang didominasi oleh DAP yang mencampuri segala urusan termasuk hal ehwal hukum Islam.

“Sebagai contoh, dalam pentadbiran negeri pula, DAP secara jelas cuba untuk campur tangan dalam institusi fatwa di sini dan perkara ini turut diakui oleh AJK fatwa dan bekas mufti negeri tersebut, Datuk Seri Hassan Ahmad.

“Maka perkara itu juga tidak mustahil berlaku di dalam pakatan pembangkang dan ini terbukti apabila Dap menolak pindaan RUU 355 yang kemudiannya keputusan DAP itu diikuti oleh PKR dan juga PAN,” katanya lagi.

Lantaran itu, ianya sekaligus memberi indikasi bahawa DAP akan menjadi pembuat keputusan sekiranya Pakatan Harapan menjuarai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dan mengambilalih pentadbiran di Putrajaya.

“Bagi saya, DAP tidak kisah jika barisan kepimpinannya tidak menjadi Perdana Menteri, namun apa yang penting mereka mahukan seorang pemimpin di kalangan parti pembangkang yang boleh mereka kawal dan akur dengan setiap keputusan yang diputuskan oleh DAP.

“Mungkin kerana itu, DAP beria-ria mahukan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri dengan alasan sebagai ganti kepada Anwar, sedangkan hakikatnya mereka memilihnya kerana kelemahan Presiden PKR itu yang mudah dipengaruhi untuk membuat satu-satu keputusan yang memihak kepada keuntungan parti tersebut.

“Sehubungan itu, saya fikir rakyat khususnya umat Islam di negara ini perlu bijak menilai permainan politik pihak pembangkang, terutamanya Dap yang tegar dengan imej anti Islam, rasis dan cauvinis, namun cuba untuk menyembunyikan perkara tersebut dalam usaha mereka untuk mendapat sokongan rakyat terutama umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-