Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, March 16, 2017

Utusan Malaysia minta maaf pada Guan Eng kerana memfitnah

 oleh Buletin Mutiara
GEORGE TOWN, 15 MAC: Utusan Melayu hari ini memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas kesilapan fakta dalam artikel “Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” yang disiarkan akhbar itu pada 20 Ogos 2015.

Peguam Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Siti Nur Zulaikha Ibrahim melafazkan permohonan maaf itu di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Azmi Abdullah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Utusan Melayu adalah penerbit, pencetak dan pengedar akhbar, Utusan Malaysia.

“Kami memohon maaf kepada Yang Amat Berbahagia Tuan Lim Guan Eng atas kesulitan yang dialami beliau ekoran daripada kekeliruan dan kesilapan fakta di pihak kami dalam penyiaran berita asal tersebut,” kata Siti mewakili pihak defenden.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP melahirkan rasa gembira atas keputusan persetujuan penghakiman tersebut.

“Keputusan ini membersihkan nama baik saya daripada tuduhan rasuah itu,” katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Simon Murali pula memberitahu, pihak defendan akan menyiarkan keputusan penghakiman persetujuan yang dicapai kedua-dua belah pihak itu di muka surat kedua dalam Utusan Malaysia secara wajar dalam tempoh tujuh hari.

Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui kedua-dua pihak tidak didedahkan kepada umum.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menunjukkan tanda “bagus” sejurus keluar dari kamar mahkamah

Terdahulu, Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 seperti dilaporkan Utusan Malaysia menuduh Guan Eng melakukan rasuah, yang mana dinafikan sekeras-kerasnya oleh Adun Air Puteh itu.

Shaik Hussein menuduh Guan Eng menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC) yang dikaitkan dengan suatu projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.

Selepas Guan Eng memfailkan saman ke atas Shaik Hussein yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO, penghakiman persetujuan pertama dicapai kedua-dua pihak.

Namun, Shaik Hussein dalam kenyataannya kepada pemberita ketika itu menafikan bahawa beliau ada memohon maaf atas kenyataan berunsur fitnah ke atas plaintif.

Malah, berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia ketika itu tidak mencerminkan maksud sebenar penghakiman persetujuan kedua-dua belah pihak.

Berikutan itu, Guan Eng merujuk Utusan Malaysia ke Mahkamah Tinggi, sehinggalah penghakiman persetujuan dicapai pada tengah hari tadi.

Roketkini.com