Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, April 9, 2017

Nik Abduh puji Pandikar berani, cekal

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz memuji dan mendoakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana "berani" dan "cekal" membenarkan usul presiden PAS dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Kata Nik Abduh lagi, tindakan Pandikar menangguhkan sidang adalah kesilapan kecil berbanding ketepatan tindakan speaker Dewan Rakyat membenarkan usul persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibentangkan.

"Semoga Allah memberi ganjaran tertinggi kepada Tan Sri Speaker Dewan Rakyat di atas ketulusan, keberanian dan kecekalannya berhadapan kesukaran membenarkan usul persendirian Marang dibentangkan.

Jika tindakan Tan Sri menangguhkan sidang 'dikira' sebagai satu kesilapan, ia hanyalah kurang 10 peratus berbanding 100 peratus ketepatan tindakannya membenarkan usul tersebut dibentangkan," katanya melalui kemas kini Facebook.

Usul rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibawa Abdul Hadi akhirnya dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Melalui usul itu Abdul Hadi mencadangkan had maksimum hukuman kesalahan jenayah ditingkatkan kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebatan rotan 100 kali.

Lupakan kesakitan

Sesetengah pengkritik menganggap usul itu sebagai pembuka jalan kepada pelaksanaan hukuman hudud di negara ini tetapi Abdul Hadi sendiri menegaskan sebaliknya.

Usul Abdul Hadi itu disokong Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, yang berucap panjang - termasuk kerana menjawab beberapa pertanyaan wakil rakyat yang berada di situ - sebelum Pandikar menangguhkan sidang.

Tindakan itu menyebabkan usul Abdul Hadi tidak boleh dibahaskan. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati hampir semua pembangkang.

Kata Nik Abduh, kemarahan anggota parlimen terbabit sebenarnya bukanlah kerana keputusan Pandikar menangguhkan sidang, sebaliknya kerana speaker terbabit membenarkan usul itu dibentang Abdull Hadi.

"Dengannya, mereka gagal memenangkan tuduhan mereka bahawa PAS ditipu Umno. Hukum tuhan, orang menipu akhirnya mendapati merekalah yang menipu diri sendiri.

"Bersandarlah pada Allah. Dialah pemilik makar dan tipu daya," katanya lagi.

Nik Abduh juga menasihati orang ramai supaya bersabar dan tetap istiqamah kerana dengan itu Allah akan mengurniakan "kegembiraan satu demi satu".

"Lupakan kesakitan. Ketenangan akan sentiasa menemani perjuangan di jalan-Nya. Hujungnya akan sentiasa menjadi milik orang-orang yang bertaqwa," katanya.