Friday, April 14, 2017

'Pas tak tahu Nasharudin terima atau tak dana 1MDB'

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
14 APRIL 2017
Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa tiada kaitan lagi dengan parti itu seperti didakwa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malah parti juga tidak tahu sama ada benar atau tidak Nasharudin menerima dana daripada 1MDB.

“Bagi kita, Nasharudin sudah tiada kena-mengena dengan Pas. Beliau hanya ahli biasa dan bukan pimpinan Pas, jadi kalau nak kaitkan dengan Pas, ini satu tuduhan palsu.

“Sebab realitinya, Nasharudin sudah tidak bersama dalam program Pas sejak 2015 lagi. Sama ada benar atau tidak beliau terima dana 1MDB, itu urusan peribadi beliau,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapat penjelasan Nasharudin mengenai dakwaan Rafizi menemui jalan buntu selepas beliau gagal dihubungi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dana 1MDB: Nasharudin 'kunci mulut']

Sebelum ini, Rafizi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Invoke, semalam berkata, pendedahan itu dibuat setelah seminggu beliau mendakwa ada wang dari akaun peribadi Najib mengalir kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi dedah nama tokoh Pas terlibat dengan 1MDB]

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga tidak pernah menerima sebarang dana daripada Nasharudin.

“Pejabat Pas tak pernah terima sumbangan daripada beliau, sama ada secara peribadi atau kepada parti. Beliau juga tidak pernah pergi ke pejabat Pas.

“Malah, saya sendiri secara peribadi tak pernah jumpa Nasharudin sejak beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Pas,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata tiada keperluan untuk mengambil tindakan saman terhadap Rafizi.

“Kita tidak ambil tindakan, sebab anggap ini hanya kenyataan kosong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kewajaran bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa memberi maklumat tersebut kepada Rafizi.

“Bekas pegawai itu tentu peroleh maklumat sewaktu ada jawatan dalam SPRM, jadi sepatutnya ketika itu beliau ambil tindakan.

"Tidak perlu dedah maklumat kepada pihak lain yang tidak berkepentingan. Bagi saya, tindakannya telah melanggar prosedur penyiasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-