Wednesday, April 19, 2017

PAS terus jadi 'kenangan mengusik jiwa' Dr Mahathir

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Kata orang kalau sudah tidak suka tolak sebelah tutup buku habis cerita. Nampaknya Tun Dr Mahathir Mohamad masih nak bikin orang PAS kecut perut dengan hajat parti itu nak jadi lone ranger hadapi pilihanraya umum ke 14.

Sebaliknya kalau baca kenyataan-kenyataan kebelakangan ini bekas Perdana Menteri cuba gambarkan gelagat PAS tidak akan menjadi kudis langsung pada Pakatan Harapan dalam impian untuk tawan Putrajaya.

Jadi apa perlu pakatan DAP-PKR-PAN -PPBM nak takut.

Namun macam-macam andaian boleh dibuat dari tulisan terbaru di blognya Chedet.

Kalangan pemerhati politik berpendapat jelas beliau tidak boleh tidor nyenyak kerana menaruh masih harapan agar PAS buat U-turn.

PAS terus menjadi ' kenangan mengusik jiwa' baginya.

Dr Mahathir bersusah payah selak sejarah untuk bentangkan fakta prestasi PAS dalam pilihanraya umum sejak pilihanraya umum pertama pada tahun 1959.

Kata orang Utara PAS ' cukup lekeh' kalau nak main secara solo.

Siapa tahu silap haribulan orang PAS akan senak perut dan dilanda keresahan,kebimbangan dan celaru mengenangkan ' malapetaka' yang bakal dihadapi parti itu pada PRU14 nanti.

Apa lagi ayat standard bekas Perdana Menteri itu untuk bikin 'geli' ialah tindak tanduk PAS akan bagi untung pada BN.

Semua pimpinan PAS termasuk Datuk Seri Haji Hadi Awang nampaknya sudah set untuk ambil jalan sendiri pada PRU14.

Apapun Muktamar PAS yang akan berlangsung di Kota Sarang Semut dekat Alor Star pada hujung bulan ini dijangka akan menjadi medan penentu yang rasmi pendirian parti itu.

Ini termasuk soal hubungan ' keluarga 69' dengan PKR yang masih terikat dalam kerajaan negeri Selangor.

Sebagai orang politik yang sudah lama dalam sepak terajang ini bekas Perdana Menteri itu tentu rasa tidak rugi terus menerus ' memancing'.

Mungkin beliau berharap nanti dapat kata pada PAS..." see...I told you".

BERIKUT IALAH TULISAN PENUH TUN DR MAHATHIR MOHAMAD DI BLOG CHE DET PADA 17 APRIL :

1.PAS ditubuh oleh ulama UMNO yang kecewa kerana sebab-sebab tertentu. Nama asalnya ialah Pan-Malayan Islamic Party (PMIP).

2.Sejak PMIP sebagai PAS bertanding dalam pilihanraya, parti itu tidak pernah menang besar di peringkat nasional.

3.Apabila bertanding bersendirian pencapaiannya amat rendah. Hanya pada 1959, PRU Pertama, PAS menang 13 kerusi. Pada PRU Kedua 9 kerusi dan Ketiga 12 kerusi.

4.Apabila menjadi komponen dalam BN pada 1974, PAS menang 13 kerusi.

5.Kemudian pada 1978, 1982, 1986, setelah berpisah dari BN dan bertanding bersendirian PAS menang 5, 5, 1 sahaja.

6.Sebaliknya apabila bersama dengan Semangat 46 dan secara tidak langsung dengan DAP, PAS menang 7 kerusi pada 1990, 1995.

7.Hanya apabila bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif pada 1999 barulah PAS dapat kemenangan tertinggi iaitu 27 kerusi.

8.Pencapaian PAS menurun dengan teruk apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif pada 2004, dengan memenangi hanya 7 kerusi.

9.Kemudian PAS menyertai Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR. Prestasi PAS meningkat semula dengan memenangi 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.

10.Dari pencapaian PAS selama ia ditubuh, harapan untuk memerintah diperingkat pusat tidak ada sama sekali. Hanya diwaktu menyertai Barisan Nasional sahaja yang PAS menjadi parti kecil dalam kerajaan pusat.

11.Perjuangannya sebagai parti Islam, jika ada, tidak sedikitpun berhasil. Kejayaannya terhad kepada memecahbelah orang Melayu sehingga pengaruh dan kuasa mereka berkurangan dalam politik negara.

12.Sekarang PAS akan sekali lagi bertanding bersendirian. Mengikut rekod PAS yang tertera di atas, jika PAS bertanding sebanyak 80 kawasan Parlimen, pencapaian mungkin tidak lebih dari 15 kerusi.

13.Kebanyakan dari 80 kawasan ini, PAS tahu PAS akan kalah. Tetapi mengikut adat PAS, di kawasan yang PAS tidak ada harapan langsung pun, PAS akan bertanding.

14.Secara teknikal PAS melawan UMNO BN, selain dari melawan parti-parti lain yang meletak calon.

15.Dengan PAS bertanding dan menjadikan pertandingan tiga atau lebih penjuru, kesannya ialah memecahbelah musuh-musuh BN (UMNO). PAS akan kalah dan mengheret turun parti pembangkang lain. UMNO akan menang, kerana penyokong parti lawan berpecah.

16.Secara langsung PAS berusaha, membelanja wang yang tidak sedikit untuk memberi kemenangan kepada BN dan Dato Sri Najib. Jika dikatakan PAS dibawah pimpinan Hj Hadi menyokong kepimpinan Najib, ia bukanlah keterlaluan. Ia memang benar.

17.Bagi orang Melayu penubuhan PAS adalah satu malapetaka. Ia memecahbelah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya tumpas Malayan Union. Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi.

18.Lebih dari IMP (Independent of Malaya Party) pimpinan Dato Onn, penubuhan PAS sebagai serpihan dari UMNO melemahkan kuasa politik Melayu dan menghalang kemajuan mereka.

19.Oleh kerana semua orang Melayu beragama Islam, penubuhan PAS bukan sahaja memecahbelah orang Melayu tetapi juga memecahbelah orang Islam. Demikianlah dalam usaha PAS untuk mendapat sokongan mereka sanggup mengkafir orang Melayu yang tidak menyertai parti PAS. Dengan ini gejala sosial menimpa keluarga Melayu kerana ada ahli PAS yang mengkafir ibubapa mereka dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah. Sehingga ke hari ini pun ada tempat di mana orang Melayu tidak sembahyang bersama.

20.Keputusan PAS menolak kerjasama dengan parti-parti pembangkang dan meletak calon di dalam kawasan yang PAS tidak mungkin menang bermakna PAS menyokong UMNO dan Najib dengan memecah undi pembangkang. Sejak PAS ditubuhkan, perpecahan dikalangan orang Melayu dan orang Islam di Malaysia tidak dapat dipulih lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-