Monday, April 3, 2017

Peneroka Felda hutang k'jaan hampir RM5b

Para peneroka Felda berhutang dengan kerajaan sejumlah hampir RM5 bilion dalam pelbagai jenis pinjaman, setakat bulan Disember 2015.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, hutang berkenaan termasuk pinjaman membeli saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dana pembukaan tanah, penanaman semula, pendidikan tinggi, pinjaman pembelian komputer, insentif usahawan serta pembesaran rumah.

Razali tidak memberikan perincian pinjaman tersebut dalam jawapan bertulis Parlimen pada Isnin lepas.

Beliau menjawab soalan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP-Raub) mengenai hutang peneroka Felda kepada kerajaan.

Terdahulu, Razali berkata, Felda sebagai satu entiti, mencatatkan kerugian tidak nyata RM1.21 bilion daripada pegangannya dalam FGV.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, menjana perolehan RM10 bilion dengan disebut-sebut menjadi salah satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia bagi tahun berkenaan, kedua selepas Facebook Inc.

Firma berkenaan membuat kemunculan pertama pada harga RM4.55 sesaham tetapi mengalami trend menurun semenjak itu.

Harga saham FGV mencecah paras terendah RM1.19 sesaham pada bulan Ogos 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-