Saturday, April 22, 2017

Pertikaian 1MDB, IPIC masih jauh dari selesai - PAS

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hakikatnya, pertelingkahan antara 1MDB dan IPIC (International Petroleum Investment Co.) dari Abu Dhabi, masih jauh daripada penyelesaian.

"Pertarungan 1MDB dan IPIC akan berlanjutan sehingga 2020, di mana kemungkinan 1MDB perlu membayar hutang AS$3.5 bilion kepada IPIC selain daripada AS$1.2 bilion yang dijanji untuk dilangsaikan tahun ini.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang mungkin ditanggung 1MDB mencecah AS$4.7 bilion (RM20.68 bilion)," kata beliau dalam kenyataan.

Persoalan lebih menariknya, soal Tuan Ibrahim, ialah apakah yang terjadi kepada penyelesaian 1MDB-IPIC pada 2020 nanti sekiranya perdana menteri Malaysia bertukar.

Ini kerana pilihanraya umum ke 14 perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun depan, katanya.

"Sekiranya 1MDB tewas di dalam rundingannya dengan IPIC, apakah perdana menteri Malaysia yang baru akan membayar begitu sahaja tanpa mendedahkan apa yang terjadi kepada AS$3.5 bilion yang terbayar kepada Aabar Investments PJS, yang dinafikan IPIC sebagai salah satu anak syarikatnya.

"Apapun, isu 1MDB akan terus membelenggu ekonomi negara untuk beberapa tahun akan datang. Takziah buat negara," katanya.

Semalam, The Straits Times melaporkan 1MDB dijangka menandatangani perjanjian menyelesaikan pertikaian berbilion dolar dengan IPIC.

Akhbar Singapura itu bagaimanapun mendakwa penyelesaian berkenaan - jika berlaku - boleh melemahkan tindakan undang-undang diambil Jabatan Keadilan (DOJ) AS terhadap 1MDB.

Memetik sumber, laporan tersebut mengatakan perjanjian berkenaan akan menyaksikan 1MDB membayar IPIC sejumlah AS$ 1.2 bilion (RM5.3 bilion) menjelang akhir tahun bagi melangsaikan pinjaman dan faedah terkumpul daripada bantuan diberikan kepada syarikat kerajaan Malaysia itu pada Julai 2015.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan hutang AS$1.2 bilion yang perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC yang bercanggah dengan kenyataan Presiden 1MDB Arul Kanda pada 31 Mei 2015.

Ketika itu, jelasnya, Arul bertegas dana AS$1 bilion daripada IPIC kepada 1MDB untuk membayar penuh pinjaman berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion) kepada satu sindiket bank-bank antarabangsa bukanlah satu jenis pinjaman atau hutang.

"Sekiranya ia bukan hutang, mengapa 1MDB perlu membayar kembali ‘pelaburan’ tersebut berserta faedah? Apakah ini tergolong dalam berita palsu menurut kriteria Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Apakah 1MDB mempunyai dana yang cukup untuk membayar hutang IPIC? Jika tidak, di mana kerajaan BN hendak mencari dana untuk membayar hutang kepada IPIC terutamanya jika mereka memenangi PRU14," tanya Tuan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-