Saturday, April 15, 2017

Saman Ezam tak berasas, Najib tiada kaitan 1MDB

Muhammad Rahimi Osman
ULASAN :  Saman yang dikemukakan oleh Presiden Parti Bebas Rasuah, Datuk Ezam Md Noor untuk menuntut ganti rugi daripada Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali.

Perdana menteri tidak mempunyai kaitan secara langsung dalam perjalanan operasi dan perniagaan yang dijalankan oleh 1MDB.

Ini disahkan dalam laporan 106 muka surat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia. Malah, salah seorang anggota PAC yang merupakan Ahli Parlimen DAP Kepong, Tan Seng Giaw juga menyatakan bahawa tidak ada asas untuk mendakwa atau menuduh perdana menteri bersalah dalam isu 1MDB.

Transaksi usahasama perniagaan 1MDB yang disebut dalam saman Ezam Md Noor adalah transaksi yang sama disebut dalam kes saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat. Namun, 1MDB telah berulang kali menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak kehilangan sebarang wang daripada transaksi usahasama tersebut.

Sebagai contoh, dalam usahasama bersama Petro Saudi, 1MDB telah mendapatkan kembali wang modal yang dilaburkan berserta keuntungan sebanyak RM1.98 billion. Jadi, jika terdapat kehilangan wang, nyata dan jelas bahawa wang tersebut bukanlah wang 1MDB. Tuntutan Ezam bahawa dia sebagai pembayar cukai dan seorang rakyat ‘bakal menanggung kerugian’ adalah tidak berasas sama sekali.

Seperti yang dinyatakan, bebanan yang ditanggung oleh 1MDB sebelum ini adalah berpunca dari masalah pengurusan dan tadbir urus korporat yang lemah oleh pihak pengurusan sebelum ini. Tidak ada sebarang bukti penglibatan, penyalahgunaan kuasa ataupun penyelewengan yang dilakukan oleh perdana menteri.

Dalam minit mesyuarat yang dikemukan kepada Jabatan Audit Negara dan PAC, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga telah bertindak tegas dengan menyoal, memberi teguran dan memberikan arahan kepada pihak pengurusan 1MDB untuk memastikan perjalanan syarikat lebih teratur dan profesional.

Melalui beberapa langkah strategik dan penstrukturan semula, 1MDB telah berjaya membayar kembali kesemua hutang jangka pendeknya.

Malah, beberapa hari lalu kita saksikan 8 buah pengkalan udara baru yang lebih moden dan selesa telah hampir siap dibina sepertimana perjanjian 1MDB dengan kerajaan sebelum ini. Keseluruhan pembinaan ini menelan belanja hampir RM2.7 billion. Secara logiknya, jika benar 1MDB kehilangan wang sebegitu banyak, ia tidak akan mampu melaksanakan komitmen sebesar ini.

Sebagai presiden sebuah parti politik baru yang cuba menempa nama di pentas politik tanahair, Ezam sepatutnya mencari isu-isu yang lebih segar untuk dibawa. Bukan hanya ‘menyalin semula' saman DOJ dan menfailkan di mahkamah Malaysia.

Ezam mempunyai 6 kotak isu rasuah, sudah tentu ada beratus kes di dalam 6 kotak tersebut. Jadi kenapa tidak dibawa keluar kes-kes yang belum didengar rakyat ini supaya menjadi isu yang lebih hangat?

Saya juga ingin mengulangi cabaran saya terhadap Ezam supaya membersihkan namanya dan juga mengisytihar segala dana yang diterima atas kapasiti peribadi serta NGO yang dipimpin selama dia berada dalam kerajaan.

Berapa jumlah dana yang diterima dan kemana dana ini dibelanjakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-