Sunday, April 2, 2017

Zahid: PAS jadi bahan jenaka, Pakatan jangan pujuk

FMT Reporters
April 2, 2017

Zaid berkata, tidak perlu ada usaha untuk memasukkan PAS dalam Pakatan Harapan dengan mengambil risiko merosakkan segala-galanya.
PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan PAS sebagai bahan jenaka kerana mempercayai Umno untuk bekerjasama dalam usaha untuk memperkenalkan hukuman syariah yang berat di Malaysia.

“PAS menjadi bahan jenaka negara kerana mempercayai Umno untuk membantu mencapai misi sesat mereka,” kata beliau dalam entri terbaru di blog beliau hari ini.

Zaid yang menyertai DAP pada 7 Februari lalu mengingatkan Pakatan Harapan tidak tertarik dengan idea untuk bekerjasama dengan PAS kerana parti itu pernah tegang dengan Umno.

“Tidak perlu memasukkan PAS dalam Pakatan Harapan dengan mengambil risiko merosakkan segala-galanya.

“Mari kita tinggalkan PAS kepada penyokong dan pemimpin mereka saja,” katanya sambil menegaskan, adalah mustahil PAS dan Umno untuk bersama lagi walaupun mereka kelihatan sangat serasi sekarang.

“Dalam tempoh ‘bulan madu’ PAS-Umno sekarang adalah perkara yang terbaik untuk Pakatan Harapan, tetapi bukan di luar hubungan mereka dalam mengukuhkan hubungan kerja sekali lagi.

“Saya fikir mereka masih dalam misi asal untuk memecahbelahkan pembangkang, walaupun ada halangan dalam menggubal Akta 355.”

Pada 29 Mac lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih atau membentangkan rang undang-undang ahli persendirian mengenai pindaan yang pada asalnya dibentangkan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei tahun lepas.

Zaid juga melahirkan kebimbangan seolah-olah ada usaha dalam Pakatan Harapan untuk kembali terlibat dengan PAS.

“Sekarang parti itu ditinggalkan (sekurang-kurangnya buat masa ini) oleh semua orang, saya bimbang beberapa pencinta PAS dalam Pakatan Harapan, kebanyakan di Selangor dan Johor akan terdorong menjemput PAS menyertai politik baru pembangkang.”

Beliau menegaskan PAS akan memecahbelahkan parti yang baru bergabung walapun masih rapuh.

Beliau berkata, parti komponen Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu memberi fokus kepada pendaftaran simbol, manifesto dan kerusi peruntukan gabungan itu pada pilihan raya umum ke-14.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan, jangan ganggu kami. Belajar menghargai sesama sendiri dan menjadi lebih harmoni.

“Belajar untuk tidak membangkitkan kemarahan penyokong untuk kekuatan parti masing-masing,” tambah beliau.

Malah katanya, sekarang adalah masa untuk bekerja keras untuk membuktikan penyatuan barisan pembangkang untuk menjadi barisan hadapan.

Zaid juga memuji ahli politik di Sabah dan Sarawak yang bertindak untuk menghentikan RUU 355.

“Jika tidak untuk Malaysia Timur, Akta 355 sudah pasti menjadi rang undang-undang kerajaan.

“Saya percaya ahli politik BN di Sabah dan Sarawak benar-benar komited menolak undang-undang ini menjadi asas kepada sistem keadilan jenayah kita.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-